Apple dan Google telah mengumumkan sebuah sistem akan dibina bagi menjejak penyebaran coronavirus jenis baru, COVID-19. Sistem ini membolehkan para pengguna berkongsikan data menerusi transmisi Tenaga Rendah Bluetooth (Bluetooth Low Energy, BLE) dan aplikasi-aplikasi yang telah disahkan oleh badan-badan kesihatan.
Sistem baru ini akan menggunakan komunikasi jarak pendek Bluetooth bagi menentukan sebuah rangkaian penjejak kontak sukarela dan penyimpanan data yang meluas pada telefon-telefon yang berhampiran antara satu sama lain.
Aplikasi-aplikasi rasmi dari pihak berkuasa kesihatan akan mendapat akses ke data-data ini dan para pengguna yang memuat turunnya boleh melaporkan jika telah dikenalpasti positif COVID-19. Sistem ini juga akan memaklumkan pada pengguna sama ada mereka pernah mempunyai kontak rapat dengan individu yang telah dijangkiti.
API untuk iOS dan Android
Apple dan Google akan memperkenalkan API untuk iOS dan Android ini pada pertengahan Mei ini dan akan memastikan aplikasi-aplikasi pihak berkuasa kesihatan boleh menggunakannya. Buat masa ini, pengguna masih lagi perlu untuk memuat turun sesebuah aplikasi bagi tujuan menyertai khidmat penjejakan kontak dan ini membuatkan kerja penjejakan kontak sukar mendapat gambaran penuh.

Dalam jangka masa beberapa bulan selepas API ini berjaya disiapkan, Apple dan Google akan meneruskan kerja membina fungsi penjejakan ke dalam sistem operasi. Fungsi ini akan disertakan sebagai pilihan kepada sesiapa sahaja yang memiliki telefon pintar Apple dan Android.
Penjejakan kontak yang melibatkan pencarian individu yang dijangkiti serta orang-orang pernah diketemukannya adalah salah satu cara yang berkesan bagi mengawal jangkita wabak COVID-19. Bagaimanapun, penggunaan teknologi pemantauan digital telah membangkitkan kebimbangan mengenai privasi pengguna.
Kebimbangan mengenai Privasi
Bagaiamanpun, kaedah penggunaan Bluetooth melalui sistem ini adalah berbeza berbanding penggunaan data GPS kerana ia tidak menjejak lokasi fizikal orang ramai. Secara ringkasnya, sistem ini akan mendapatkan isyarat-isyarat dari telefon-telefon berhampiran setiap selang masa 5 minit. Setiap sambungan antaranya akan disimpan ke dalam pangkalan data. Jika seorang individu disahkan positif COVID-19, individu berkenaan boleh menyatakannya pada aplikasi berkenaan dan seterusnya akan memaklumkan ke telefon-telefon individu lain yang pernah berhampiran sebelum ini dengan individu yang dijangkiti tadi.
Sistem ini juga mengambil beberapa langkah bagi menghalang individu positif COVID-19 dari dikenalpasti identitinya walaupun sudah berkongsikan data. Sungguhpun aplikasi yang digunakan akan kerap menghantar data melalui Bluetooth, kekuncinya dipancarkan secara awanama dan bukannya sebagai identiti statik. Malah, kekunci berkenaan akan dikitarkan pada setiap 15 minit bagi melindungi privasi. Aplikasi ini juga hanya akan berkongsikan kekunci-kekunci pada waktu tertentu dan bukannya sepanjang masa.
Apa yang lebih penting, tiada satu pun senarai induk berpusat yang nemadankan telefon-telefon berkenaan boleh diakses. Ini kerana telefon-telefon berkenaan melaksanakan pengiraan secara kryptografik bagi melindungi privasi. Pelayan pusat hanya menyenggara pangkalan data kekunci-kekunci yang telah dikongsikan dan bukannya interaksi antara kekunci berkenaan.
Kelemahan
Kaedah ini bagaimanapun masih lagi mempunyai kelemahannya. Di dalam kawasan padat, ianya mungkin akan mengesan individu lain di dalam bilik yang berlainan. Hal ini pastinya memberikan kebimbangan yang tidak berasas jika antara individu-individu berkenaan tidak pernah sekalipun berkongsikan ruang yang sama.
Selain itu, faktor yang perlu diambil kira adalah kekuatan isyarat penerimaan peranti yang digunakan selain dari spesifikasi telefon yang digunakan. Faktor ini jika terlepas pandang mungkin bakal mengakibatkan kesan luar jangka pihak-pihak yang terlibat.
Walau apapun, sistem ini masih lagi diperingkat awal. Apple dan Android masih lagi membincangkan perkara ini dengan kalangan pihak berkuasa kesihatan mengenai cara pelaksanaannya. Kaedah ini mungkin tidak akan menggantikan sepenuhnya kaedah penjejakan kontak secara manual. Namun setidaknya ia mampu mempermudahkan kerja-kerja barisan hadapan petugas-petugas kesihatan yang terpaksa berkorban demi menyelamatkan nyawa setiap insan.













