Tidak lama selepas ZTE membawakan Blade A35 ke pasaran Malaysia, kini sebuah lagi telefon pintar peringkat pemula baharu diperkenalkan melalui ZTE Blade A55. Telefon pintar yang harganya RM50 lebih mahal dari Blade A35 ini mempunyai perbezaan dari storan yang lebih besar dan kamera yang lebih baik.
Berkesinambungan dari Blade A54 ini, ZTE Blade A55 mempunyai paparan LCD 6.75-inci 720p dengan ciri takuk berinteraktif ZTE Live Island di sebelah atasnya. Di dalamnya ia menggunakan pemprosesan Unisoc SC9863A dengan RAM 4GB dan storan 128GB, bersama-sama slot kad mikroSD.
Untuk fotografinya, telefon pintar berharga bajet ini mempunyai kamera utama 13MP dengan sensor berkedalaman yang ditempatkan di sebelah belakangnya. Di hadapannya ia mempunyai kamera 8MP.
Menguasakan Blade A55, sebuah bateri berkapsiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 10W. Dari segi ketersambungannya, ia menyokong 4G, 2.4GHz, Wi-Fi, Bluetooth 5.2 dan bicu audio 3.5mm.
ZTE Blade A55 dijual pada harga RM369 di Malaysia dengan pilihan warna yang terdiri daripada hitam, biru dan jingga. Layari laman web rasmi ZTE Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai Blade A55.













