ZDATA Technologies Co. hari ini tampil memberi penjelasan berhubung laporan mengenai kebimbangan penduduk terhadap projek pembinaan pusat data berskala hiper di Gelang Patah, Johor.

Dakwaan fasiliti tersebut menjadi punca pencemaran habuk dan gangguan bekalan air telah disangkal di dalam kenyataan tersebut. Pihak syarikat menegaskan komitmen terhadap operasi lestari serta pematuhan piawaian alam sekitar.

Aktiviti pembinaan di tapak tersebut buat masa ini dikatakan berada pada tahap minimum. Ia idak menyumbang kepada pencemaran habuk yang serius.

Pihak syarikat turut memaklumkan pembangunan di kawasan seluas 18 ekar bagi Fasa 1 telah siap sepenuhnya pada 4 Februari 2026. Manakala untuk Fasa 2 pula kini hanya melibatkan kerja-kerja kemasan kecil.

Menurut kenyataan tersebut, “Adalah tidak mungkin bahawa pencemaran habuk berpunca daripada pembangunan kami. Perlu juga ditegaskan bahawa terdapat pembangunan lain yang sedang dijalankan di lot-lot tanah bersebelahan, yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan ZDATA”.

Bagi menangani isu alam sekitar, ZDATA telah mengambil langkah mitigasi proaktif termasuk penggunaan dua lori tangki air untuk semburan berjadual setiap jam di tapak pembinaan dan laluan akses bagi mengawal habuk.

Menyentuh mengenai kebimbangan gangguan bekalan air domestik, ZDATA memberi jaminan bahawa pusat data tersebut direka bentuk untuk beroperasi menggunakan 100% air kitar semula.

Operasi ini disokong oleh loji rawatan khas yang dibina khusus. Ia bagi memastikan tidak memberikan kesan terhadap bekalan air penduduk setempat. Inisiatif teknologi air kitar semula ini turut dinyatakan telah menerima pengiktirafan melalui persijilan Malaysia Green Data Center Recycled Water yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Ogos tahun lalu.

Maklumat ringkas projek

  • Status Pembinaan: Fasa 1 siap (4 Februari 2026); Fasa 2 di peringkat kemasan dalaman; Fasa 3 & 4 menunggu penyerahan tanah.
  • Sumber Air: 100% penggunaan air kitar semula dengan loji rawatan dedikasi.
  • Mitigasi Habuk: Semburan air setiap jam dan kawalan laluan kenderaan.
  • Kapasiti ZDATA: Pengendali lebih 30 pusat data hijau dengan kapasiti beban IT dirancang sebanyak 5GW.

Sebagai penyedia infrastruktur IT digital terkemuka, ZDATA Technologies menegaskan komitmen mereka untuk mematuhi garis panduan pihak berkuasa dan menyokong aspirasi ekonomi digital rendah karbon Malaysia.

Projek ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha syarikat untuk memacu ekosistem pusat data serantau yang mampan dan berdaya saing.

Tinggalkan komentar