YouTube mengorak langkah apabila mentransformasikan dirinya melalui Youtube Red, seterusnya menjadi penyedia perkhidmatan media berbayar seperti yang ditawarkan media-media lain seperti Netflix. Perkhidmatan berbayar yang diperkenalkan oleh YouTube dikenali sebagai YouTube Red.

Pada kadar langganan USD 9.99 sebulan, perkhidmatan ini menyediakan tontonan video bebas iklan, menyimpan video untuk tontonan secara luar talian dan fungsi memainkan video YouTube pada latar belakang ketika menggunakannya di peranti mudah alih.

Perkhidmatan langganan bebas iklan ini akan dilancarkan pada minggu hadapan. Namun, kandungan eksklusif hanya boleh diakses bermula Januari tahun depan. Kandungan eksklusif ini terdiri kandungan seperti filem-filem berdurasi penuh dan rancangan-rancangan bersiri yang dibiayai oleh YouTube. Kandungan-kandungan video kreatif menarik yang dibiayai oleh media atas talian seperti Hulu dan Amazon sebelum ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari penonton-penonton di internet.

Selain itu, ia juga menawarkan perkhidmatan untuk muzik melalui aplikasi YouTube Music. Aplikasi ini merupakan kesinambungan dari perkhidmatan berbayar yang dilancarkan pada tahun lepas, YouTube Music Key. Secara tidak langsung, YouTube telah berubah menjadi klon kepada Spotify.

Sebagaimana yang ditawarkan oleh YouTube Music Key sebelum ini, aplikasi dikemaskini bersama-sama YouTube Red ini membolehkan pengguna mengakses ke Google Play Music.

Buat permulaan, YouTube Red hanya boleh diakses oleh pengguna-pengguna di Amerika Syarikat sahaja dan negara-negara lain akan menyusul kemudian dalam tempoh yang terdekat.

-Sumber berita diperoleh dari New York Times

Tinggalkan komentar