Xiaomi telah melancarkan mesin basuh baharunya di China yang menampilkan rekaan bertingkat unik. Mesin Basuh dan Pengering Bertingkat MIJIA ini mempunyai rekaan dwi-silinder atas dan bawah yang membolehkan tugasan membasuh dan mengering pakaian dijalankan secara serentak.

Ia mempunyai kapasiti keseluruhan 15kg dengan dram sebelah atas berkapasiti 5kg dan sebelah bawah pula mampu menampung 10kg.

Mesin basuh dan pengering Xiaomi MIJIA ini juga boleh mengasingkan pakaian bayi dengan basuhan biasa secara serentak. Menurut Xiaomi, rekaannya menampilkan ciri kecekapan dan kebersihan untuk kesihatan dengan silinder sebelah atas direka bagi membasuh pakaian lembut seperti pakaian bayi, pakaian dalam, pakaian bermaterial kapas, wul (wool), dan sutera.Mijia-partition-washing-and-drying-machine-15kg-2

Untuk fungsi mengering pula, mesin ini mampu menyokong muatan sehingga 7kg. Silinder bawah yang lebih besar 10kg pula boleh membasuh pelbagai jenis kain dari cadar, pakaian dewasa hinggalah seluar jeans. Ia mempunyai tiga cara khas yang digunakan bagi basuhan pakaian lembut.

Kedua-dua silindernya dikuaskaan oleh dua motor pacuan terus yang berkecekapan tinggi dan tepat, serta mempunyai kadar kebisingan yang rendah 48dB. Mekanisme pengeringan mesin ini pula dipacu oleh kipas pengeringan berfrekuensi boleh ubah BLDC dengan kawalan angin dan suhu pintar. Pam pembersihan BLDC menjamin kuasa pembersihan ketika proses pengeringan dilakukan.Mijia-partition-washing-and-drying-machine-15kg-1

Mesin basuh dan pengering ini juga didatangkan dengan panel paparan bagi tiap satu bahagiannya masing-masing untuk bahagian membasuh, dan satu lagi untuk bahagian mengering.

Ia juga boleh diintegrasikan ke dalam ekosistem rumah pintar melalui aplikasi MIJIA dan boleh menghantar mesej masa nyata berkaitan tugasannya, serta menghantar peringatan bersuara Xiao AI dan memainkan muzik.

Mesin Basuh dan Pengering Bertingkat Xiaomi MIJIA 15kg ini hanya ditawarkan di China sahaja buat masa ini dan telah dilancarkan pada 11 Ogos lalu dengan harga jualan 5,999 yuan (~RM 3,964).

Tinggalkan komentar