Xiaomi mengumumkan pelancaranproduk AIoT baharunya merangkumi Xiaomi Watch 5 dan Siri TV S Mini LED 2026. Pengumuman ini dibuat dalam acara pelancaran global Xiaomi yang turut memperkenalkan siri Xiaomi 17.
Watch 5 ditawarkan pada harga RM1,199 manakala TV baharu hadir dalam lima pilihan saiz dengan harga dari RM2,499.
Watch 5 sebelum ini membuat kemunculan awal di pasaran China pada Disember. Ia kini diperkenalkan untuk pasaran antarabangsa dengan binaan bingkai keluli tahan karat.
Jam tangan pintar yang menggunakan skrin AMOLED 1.54 inci dilindungi kaca nilam. Ia mempunyai resolusi 480 × 480 piksel dan kecerahan puncak 1,500 nits.
Dari segi prestasi, Watch 5 dikuasakan cip Snapdragon W5 Gen 1. Ia dipadankan dengan kopemproses kuasa rendah BES2800, serta dilengkapi sensor EMG, IMU dan PPG untuk sokongan gerak isyarat pantas yang lebih maju.
Xiaomi turut menyatakan bateri 930mAh padanya mampu bertahan sehingga enam hari dalam mod pintar. Malah ia mampu bertahan sehingga 18 hari dalam mod penjimatan kuasa.
Peranti ini menjalankan Wear OS 6 dan menjadi jam pintar Xiaomi pertama yang hadir dengan Google Gemini “right out of the box”. Selain itu, ia juga menyokong Xiaomi HyperConnect untuk kawalan merentas peranti, penjejakan luar dwi-jalur GNSS, serta rintangan air 5 ATM.
Spesifikasi Xiaomi Watch 5
| Ciri | Spesifikasi |
|---|---|
| Binaan | Bingkai keluli tahan karat |
| Paparan | 1.54-inci AMOLED, kaca nilam (sapphire glass) |
| Resolusi & kecerahan | 480 × 480 piksel; kecerahan puncak 1,500 nits |
| Pemprosesan | Snapdragon W5 Gen 1 |
| Pemprosesan sokongan | BES2800 (low-power co-processor) |
| Sensor | EMG, IMU, PPG |
| Bateri | 930mAh |
| Hayat bateri | Sehingga 6 hari (Smart mode); sehingga 18 hari (Power saver mode) |
| Sistem operasi | Wear OS 6 |
| Pembantu AI | Google Gemini |
| Ciri sambungan | Xiaomi HyperConnect untuk kawalan merentas peranti |
| Penjejakan luar | GNSS dwi-jalur (dual-band GNSS) |
| Ketahanan air | 5 ATM |
| Warna | Black, Juniper Green |
| Harga (Malaysia) | RM1,199 |
Xiaomi TV S Mini LED 2026
Bagi kategori hiburan rumah, Siri TV S Mini LED 2026 memperkenalkan penambahan baharu dalam rangkaian TV Xiaomi. Kesemua model 55, 65, 75, 85 dan 98 inci, ini berkongsi ciri-ciri yang sama.
Menurut Xiaomi, setiap model menggunakan pemalapan setempat Mini LED tahap tinggi dan teknologi dot kuantum LED untuk warna yang lebih kaya, kontras lebih terang dan lebih hidup.
TV ini turut menawarkan resolusi UHD 4K, sokongan HDR10+ dan Dolby Vision, kadar segar semula 144Hz serta 288Hz, dan sistem audio pembesar suara dwi 15W yang ditala dengan Dolby Vision dan Dolby Atmos.
Spesifikasi Siri TV S Mini LED 2026
| Ciri | Spesifikasi |
|---|---|
| Saiz skrin | 55, 65, 75, 85, 98 inci |
| Teknologi panel | Mini LED local dimming + QLED quantum dot |
| Resolusi | UHD 4K |
| HDR | HDR10+; Dolby Vision |
| Kadar segar semula | 144Hz dan 288Hz |
| Audio | Pembesar suara dwi 15W |
| Penalaan audio | Dolby Atmos |
| Harga 55″ | RM2,499 |
| Harga 65″ | RM3,499 |
| Harga 75″ | RM3,999 |
| Harga 85″ | RM8,999 |
| Harga 98″ | RM12,999 |
| Ketersediaan | 55/65/75 inci bermula 3 Mac; 85/98 inci hujung bulan |















