Xiaomi telah mengumumkan laptop berkuasa pemprosesan Intel melalui RedmiBook 15 Pro dan RedmiBook 15 e-Learning Edition. Laptop Pro ini berbeza dengan model yang dilancarkan di China awal tahun ini.

RedmiBook 15 Pro

Laptop berskrin 15.6-inci beresolusi 1080p ini hadir dengan badan polikarbonat dan kemasan kilatan logam. Berat laptop ini hanya 1.8 kg dan hanya berketebalan 19.9mm, justeru menjadikannya amat ringan.

Sungguhpun ringan, laptop ini mampu digunakan sehingga 10 jam memalui baterinya berkapasiti 46 Wj yang turut disertakan bersama-sama adapter 65W.

CPU RedmiBook 15 Pro ialah Intel i5-11300H yang mempunyai TDP sehingga 35W, 4 teras 8 bebenang dan frekuensi asas 3.1GHz yang apabila dipertingkatkan mampu mencapai frekuensi sehingga 4.4GHz. Pemprosesan ini juga mempunyai grafik Intel Xe yang mempunyai 80 unit pelaksana, memberikan prestasinya sedikit di atas Nvidia MX330, menurut Xiaomi.

Keupayaan CPU i5 ini juga dibantu oleh RAM DDR4 8GB dan SSD NVMe 512GB. Kepantasan SSD ini mampu membolehkan laptop Xiaomi ini dihidupkan dalam tempoh 12 sahaja dan 2 sahaja apabila dikejutkan.

Dari segi bilangan port, laptop ini menyediakan 2 port USB-A 3.2 Gen 1, HDMI, Ethernet, 1 port USB-A 2.0, pembaca kad SD dan bicu audio 3.5 mm (kombo speaker & mic). Tiada port USB-C disediakan.

Untuk ketersambungan nirwayar, laptop ini dilengkapkan dengan Wi-Fi 5 (2×2) dan Bluetooth 5.0. Aplikasi SmartShare yang dipra-pasang pada laptop ini membantu anda melakukan pemindahan fail dengan telefon pintar anda.

Laptop ini juga dipra-pasang dengan Windows 10 Home bersama-sama Microsoft Office Home & Student Edition. Ia juga mempunyai ketersesuaian dengan Windows 11, jadinya ia akan dinaiktaraf secara percuma sebaik sahaja sistem operasi berkenaan dilancarkan.

RedmiBook 15 Pro mula dijual di pasaran India bermula 6 Ogos ini pada harga 50,000 Rupee (~RM2,845).

RedmiBook 15 e-Learning Edition

Laptop menyediakan paparan yang sama dengan Pro iaitu pada ukuran 15.6-inci beresolusi 1080p. Oleh kerana ia mensasarkan kepada pelajar, laptop ini dijual pada harga yang lebih rendah dengan sedikit perbezaan dari segi perkakasannya.

Perbezaan ketaranya terletak pada penggunaan CPU Intel i3-1115G4 Generasi Ke-11 yang mempunyai 2 teras 4 bebenang, TDP sehingga 28W dan frekuensi maksimum turtbo pada 4.1GHz.

Terdapat dua versi bagi laptop e-Learning Edition ini iaitu pada jenis SSD yang ditawarkan. Salah satunya menawarkan SSD SATA 256GB, manakala satu lagi menawarkan SSD NVMe 512GB. Lain-lain, laptop ini menawarkan ciri yang sama seperti apa yang terdapat pada Pro.

RedmiBook e-Learning Edition akan dijual pada harga 42,000 Rupee (~RM 2,381) dan mula memasuki pasaran India bermula pada 6 Ogos ini.

Tidak diketahui bilakah laptop RedmiBook ini akan memasuki ke pasaran Malaysia.

Tinggalkan komentar