Pada pertengahan tahun 2020, dua model Mi TV Stick telah tertiris sebelum pengumuman rasminya. Bagaimanapun, varian yang lebih tinggi dengan sokongan 4K tidak kelihatan.
Setahun kemudian, versi 4K didapati telah muncul di dalam senarai FCC pada September 2021. Kini, Xiaomi Mi Stick 4K telah dilancarkan secara rasminya melalui penjenaman semula ‘Xiaomi’.
Dari segi rekaan, Xiaomi TV Stick 4K tampil dengan rekaan yang sama seperti Mi TV Stick. Hal ini kerana ia merupakan model sama yang sepatutnya dilancarkan pada tahun lepas. Atas sebab itu juga ia mempunyai ukuran 106.8 x 29.4 x 15.4mm dengan berat 42.8g dan ditawarkan dengan satu sahaja pilihan warna.
Ia juga didatangkan dengan alat kawalan jauh dengan sokongan Bluetooth Xiaomi yang turut menyertakan mikrofon terbina dalam untuk kawalan bersuara. Turut disertakan butang khusus untuk Netflix dan juga Prime Video.
Peranti tontonan video penstriman ini menggunakan cipset Amlogic S905Y4 yang mengandungi CPU ARM Cortex-A35 CPU dan GPU ARM Mali-G31 MP2. Cipset ini dibantu oleh RAM 2GB dan storan sebanyak 8GB.
Sokongan dari perisian Android TV 11
Melalui perisian Android TV 11 yang di dalamnya, peranti ini juga menyokong pelbagai perkhidmatan penstriman utama, Chromecast terbina dalam, Google Assistant, Play Store dan banyak lagi.
Peranti ini juga mendapat pelbagai manfaat dari peningkatan cip yang digunakan. Selain dari keupayaan memainkan kandungan 4K, ia juga mempunyai keserasian dengan codec AV1, serta menyokong Dolby Vision, Dolby Atmos dan DTS HD.
Tidak ketinggalan, bagi ketersambungannya pula ia menyokong Wi-Fi dwi-jalur, Bluetooth 5.0, 1 port HDMI, dan 1 port MikroUSB. Bersama-sama kotak pembungkusannya, peranti ini juga menyediakan kabel penyambungan HDMI dan juga adapter bekalan kuasa.
Xiaomi masih lagi belum mengumumkan harga rasmi Xiaomi TV Stick 4K. Jika Xiaomi merancang untuk meneruskan jualan Mi TV Stick, berkemungkinan harga untuk varian terbaru ini lebih tinggi berbanding model keluaran tahun lepas. Namun, kalau model yang lama tersebut akan digantikan, boleh jadi harganya mungkin lebih kurang sama iaitu sekitar RM159 dan ke bawah.