Xiaomi pada hari ini telah mengumumkan sejumlah produk pintar di rumah di pasaran Malaysia termasuk siri Xiaomi TV A2. Pertama kali dilancarkan di pasaran global pada Jun lalu, siri Android TV baharu ini boleh didapati dalam tiga saiz berbeza iaitu 32-inci, 43-inci dan 58-inci.

Dikuasakan oleh CPU kuad-teras Cortex A55 dengan GPU Mali G52 G52 bersama-sama RAM 2GB dan storan dalaman 16GB bagi model 58-inci yang turut menawarkan panel 4K dengan kadar penyegaran semula 60Hz. Melalui liputan warna gamut DCI-P3 90%, televisyen pintar baharu ini mampu menyokong kandungan HDR10, HLG dan Dolby Vision.

Bagi model 43-inci dan 32-inci pula, ia dikuasakan oleh CPU A55 dengan GPU Mali G31 MP2. Selain itu, kedua-dua varian ini juga dilengkapkan dengan RAM 1.5GB dan storan dalaman 8GB. Varian 43-inci hadir dengan panel Full HD, manakala varian 32-inci pula mempunyai panel HD dengan kedua-duanya mempunyai kadar penyegaran semula 60Hz.

Ketiga-tiga saiz televisyen Xiaomi TV A2 ini menampilkan casis logam unibody dengan skrin nirbingkai. Ia juga didatangkan dengan pembesar suara 10W bersama-sama peningkatan audio Dolby Audio. Untuk model 58-inci, ia didatangkan dengan DTS-HD, manakala varian 43-inci dan 32-inci pula masing-masing menawarkan DTS-X, dan DTS Virtual: X Sound.

Memandangkan televisyen ini merupakan produk Android TV, kesemua model-model ini mempunyai akses ke Google Play bagi membolehkan anda memuat turun aplikasi tambahan untuk televisyen pintar ini. Anda juga boleh menggunakan Google Assistant untuk mengawalnya selain boleh menggunakannya untuk mengawal produk-produk rumah pintar Xiaomi lain melalui aplikasi Xiaomi Home.

Harga Xiaomi TV A2 di Malaysia

Untuk harganya, Xiaomi TV A2 58-inci berharga RM2,799, manakala untuk varian 43-inci dan 32-inci pula masing-masing berharga RM1,299 dan RM999. Sebagai sebahagian dari promosi pelancarannya pada 9 September ini, pelanggan akan ditawarkan dengan Mi Desktop Monitor 1C 23.8-inci bagi pembelian Xiaomi A2 TV 58-inci. Manakala untuk model 43-inci pula ia ditawarkan dengan harga diskaun RM1,099 dan model 32-inci pula berharga RM799. Tarikh jualan untuk model 32-inci setakat ini masih lagi belum diketahui.

Tinggalkan komentar