Samsung buat masa ini sedang membangunkan sebuah sensor kamera 200MP dan terdapat kebarangkalian tinggi ianya akan digunakan pertama kali oleh Xiaomi. Tidak banyak maklumat mengenainya diketahui setakat ini dan kini Digital Chat Station mendakwa mempunyai perincian mengenai sensor dan telefonnya sekali.
Sensor berkenaan dikatakan akan mempunyai resolusi 192MP dan akan menyokong pixel binning 16-dalam-1 yang menghasilkan resolusi output 12MP. Melalui kaedah cropping berbanding binning, sensor ini sepatutnya menyokong zum 4x secara natif. Ianya juga sepatutnya mampu menawarkan zum berkualiti tinggi dari 1x hingga 4x.
Kesemua ini memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi dan ianya dikatakan mampu dicapai melalui pengguna cipset SM8450, pengganti kepada Snapdragon 888.
Berkemungkinan akan dinamakan sebagai “Snapdragon 895”, cipset ini akan difabrikasi melalui proses 4nm dan menampilkan teras CPU generasi berikutnya Kryo 780 CPU (berasaskan senibina baharu ARMv9). Serta GPU baharu Adreno 730, GPU generasi berikut Spectra 680 dan modem baharu 5G X65.
Digital Chat Station turut berkongsikan perincian mengenai telefon yang akan menggunakan sensor kamera berkenaan. Paparannya dikatakan akan mempunyai sisi melengkung dengan terdapat satu kamera pada sebelah hadapannya.
Setakat ini belum diketahui siri apakah telefon berkenaan akan diletakkan oleh Xiaomi. Telefon pertama dengan kamera 108MP adalah telefon eksperimentasi Mi Mix Alpha, yang disusuli oleh Mi CC9 Pro dan kemudiannya diperkenalkan ke pasaran global sebagai Mi Note 10 Pro.
Apa yang pasti, telefon ini tidak akan hadir pada tahun ini dan mungkin ianya akan didedahkan sekitar Disember hujung tahun ini atau Januari tahun hadapan.