Xiaomi EV, bahagian automotif di bawah Xiaomi akan mengadakan acara pelancaran pada 28 Disember 2023 bagi mempertontonkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya, SU7. Acara tersebut akan diadakan secara dalam talian menerusi saluran media rasminya di Facebook, YouTube dan X.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi, Lei Jun, “SU” bermaksud “Speed Ultra” dan EV SU7 keluarannya dianggap sebagai “raksasa prestasi”. Sungguhpun tiada spesifikasi mengenainya dikongsikan setakat ini, kenderaan tersebut dikatakan mempunyai prestasi setanding dengan Porsche Taycan Turbo. Teknologi dan ekosistem termajunya pula dikatakan diinspirasikan dari model-model EV terkini seperti Tesla Model S.

Lei Jun juga berkata XIaomi SU7 kini di dalam peringkat ujian pengeluaran dan dijangka mula menemui pengguna di pasaran China dalam beberapa bulan lagi. Harganya juga masih lagi belum disahkan setakat ini. Namun, CEO Xiaomi berkenaan menyatakan ia bakal melebihi jangkaan.

Dalam pada masa yang sama, maklumat tidak rasmi mendakwa Xiaomi SU7 akan hadir dengan bateri berkapasiti 73.6kWj dan 101kWj yang dihasilkan oleh pengeluar dari China, BYD dan CATL. Untuk bateri berkapasiti 73.6kWj, jarak yang mampu dicapainya dikatakan mampu mencecah sekitar 628km dan 668km. Manakala untuk 101kWj pula ia mampu pergi sejauh 750km dan 800km.

Selain dari itu, kenderaan tersebut berukuran 4,997mm panjang, 1,963mm lebar, berketinggian antara 1,440mm dan 1,455mm dan jarak roda 3,000 mm. Beratnya pula untuk kapasiti bateri 73.6kWj seberat 579kg, manakala untuk kapasiti bateri 101kWj pula beratnya adalah 645.8kg.

Maklumat yang ditiriskan tersebut dijangka dapat disahkan apabila pelancaran rasmi Xiaomi SU7 akan diumumkan tidak lama lagi. Bagi anda yang berminat, boleh menonton secara rasmi di saluran rasmi Xiaomi pada jam 2 petang ini.

Tinggalkan komentar