Xiaomi pada hari ini telah mengumumkan sebuah lagi model terbaru dari siri Mi 10, iaitu Mi 10 Youth Edition. Sekali pandang, telefon pintar ini kelihatan mirip dengan Mi 10 Lite yang didedahkan di Eropah bulan lepas.
Malah, kedua-dua telefon ini juga berkongsikan spesifikasi yang hampir sama. Antaranya seperti cipset Qualcomm Snapdragon 765G, paparan AMOLED 6.57-inci, RAM LPDDR4X dan storan dalaman berasaskan UFS 2.1.
Telefon pintar siri Mi 10 terbaru ini juga dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 4,160mAh dan kamera utama 48MP bersama-sama kamera swafoto 16MP yang ditempatkan pada takuk sebelah atas paparannya.
Bagaimanapun, Mi 10 Youth Edition ini yang dilancarkan di China hari ini dilengkapkan dengan kamera telefoto 8MP berperiskop yang mampu melakukan zoom sehingga 50x. Perbezaan ini adalah ketara kerana tidak terdapat pada Mi 10 Lite.
Mi 10 Youth Edition juga menampilkan sebuah lagi kamera 8MP bersudut ultra luas dan juga kamera makro khusus. Manakala untuk Mi 10 Lite pula, Xiaomi masih lagi belum menyatakan secara rasminya maklumat mengenai lensa-lensa lain untuk kamera belakangnya.
Harga Mi 10 Youth Edition bermula dari RMB 2,099 (~RM 1,291) untuk variasi RAM 6GB, storan 64GB. Manakala variasi storan 128GB pula, harganya adalah RMB 2,299 (~RM 1,414). Terdapat juga Mi 10 Youth Edition dengan RAM 8GB yang dijual pada harga RMB 2499 (~RM 1,539) untuk variasi storan 128GB dan RMB 2799 (~RM 1,723) untuk pilihan storan 256GB.













