Xiaomi pada tahun ini telah menawarkan pelbagai jenis peranti sepanjang tahun ini. Antaranya merangkumi siri Mi 11, Redmi Note 10, tablet Mi Pad 5 serta pelbagai lagi produk kelengkapan di rumah pintar.

Kini, Xiaomi telah mengumumkan akan mengadakan acara pelancaran produk baharunya yang dijadualkan berlangsung pada 15 September ini.

Tidak dinyatakan produk apa yang akan dilancarkan kelak dan setakat ini hanya imej acah yang dikongsikan menerusi Twitter rasminya.

Terdapat desas-desus yang mengatakan siri Mi 11T akan diperkenalkan bersempena acara tersebut. Ini dijangka menjadikan telefon siri T terbaru keluaran Xiaomi.

Siri ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 2019 melalui Mi 9T dan Mi 9T Pro. Seterusnya, pada tahun lalu sebuah lagi model telah diperkenalkan menerusi Mi 10T yang hadir dengan Mi 10T Lite, Mi 10T, dan Mi 10T Pro.

Jika siri Mi 11T ini kelak mengikut jejak langkah siri Mi 10T, berkemungkinan siri ini akan hadir dengan model standard, Lite dan Pro.

Khabar angin juga mengatakan model standard dan Pro telefon ini akan mempunyai paparan 120Hz. Manakala cipset Dimensity 1200 digunakan untuk standard dan Snapdragon 888 untuk model Pro.

Selain itu, Xiaomi juga dikatakan akan memperkenalkan telefon boleh lipat kedua keluarannya dan dikatakan akan hadir sekitar suku keempat tahun ini.

Tinggalkan komentar