Xiaomi secara rasminya telah membawakan tablet mercu baharunya, Pad 6S Pro 12.4 ke pasaran Malaysia. Dilancarkan beberapa bulan lalu di China, ia merupakan penambahbaikan daripada Pad 6 Pro yang dilancarkan pada tahun lepas dengan paparan lebih besar, pemprosesan yang dinaiktaraf dan kapasiti bateri yang lebih besar.

Pad 6S Pro menampilkan skrin LCD 3K 12.4-inci dengan kecerahan puncak 900 nits, kadar penyegaran semula 144Hz dan perlindungan Corning Gorilla Glass 5. Di dalamnya, ia menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 dengan RAM sehingga 12GB dan storan 512GB. Ketersambungan tablet ini pula menyokong Bluetooth 5.3 dan Wi-Fi 7, tanpa sokongan rangkaian selular ditawarkan.

Untuk pengimejan, tablet ini menampilkan kamera utama 50MP dengan sensor berkedalaman, bersama-sama kamera hadapan 32MP. Ia juga mempunyai sejumlah enam pembesar suara dan empat mikrofon serta sokongan untuk Dolby Atmos. Ia menggunakan bateri berkapasiti 10,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 120W.

Xiaomi Pad 6S Pro 12.4 akan mula dijual bermula 16 Mei ini dengan harga RM2,799 untuk konfigurasi RAM 8GB, storan 256GB dan RM3,099 untuk konfigurasi RAM 12GB, storan 512GB. Anda boleh mendapatkannya menerusi laman web rasmi Xiaomi Malaysia, Shopee dan juga Lazada. Turut ditawarkan aksesori untuknya touchpad keyboard berharga RM699, Focus Pen, RM399 dan cover RM149.

Tinggalkan komentar