Xiaomi secara rasminya akan melancarkan Xiaomi Mix Fold 2 pada 11 Ogos 2022 berdasarkan pengumuman yang dibuat di Weibo. Tarikh berkenaan adalah sama seperti yang pernah dinyatakan oleh pentiris maklumat tegar popular, Ice Universe.
Selain pelancaran Xiaomi Mix Fold 2, turut serta di dalam acara yang berlangsung pada Khamis minggu depan adalah fon telinga TWS Xiaomi Buds 4 Pro dan tablet Xiaomi Pad 5 Pro 12.4-inci. Ia akan dilangsungkan pada jam 7 malam, waktu China.
Xiaomi Pad 5 Pro 12.4-inci berbeza dengan Xiaomi Pad 5 Pro yang dilancarkan pada tahun lepas. Model yang dilancarkan pada 2021 tersebut menampilkan skrin yang lebih kecil iaitu 11-inci. Rekaan tablet baharu ini juga berbeza dari segi rekaannya yang antaranya menampilkan ruangan khas untuk kamera belakangnya.
Kamera utama tablet Xiaomi baharu tersebut menampilkan sensor 50MP, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia merupakan jenis yang sama pada varian 5G Xiaomi Pad 5 Pro 5G. Xiaomi setakat ini belum berkongsikan maklumat yang lebih terperinci berkenaan produk-produk baharu keluarannya.















