Xiaomi telah melancarkan Mi Note 10 Lite melalui penstriman secara langsung menerusi saluran Youtube rasminya malam tadi.
Mi Note 10 Lite didatangkan dengan paparan AMOLED Full HD+ 6.47-inci, cipset Qualcomm Snapdragon 730G, serta bateri berkapasiti 5,260mAh dengan sokongan pengecasan pantas 30W.
Menurut Xiaomi, telefon pintar keluaran terbarunya ini mampu dicaskan dari sifar hingga penuh dalam tempoh 64 minit. Tidak ketinggalan, telefon pintar ini didatangkan dengan bicu audio 3.5mm. Hal ‘kecil’ begini amat dititik beratkan oleh sesetengah pengguna yang lebih gemarkan kualiti audio menerusi sambungan berwayar berbanding nirwayar.
Untuk kameranya, Xiaomi Mi Note 10 Lite didatangkan dengan kombo kuad-kamera 64MP (utama) + 8MP (lensa ultra luas) +5MP (lensa berkedalaman) + 2MP (makro). Modul-modul kuad kamera ini dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass 5.
Melalui RAM 6GB, Mi Note 10 Lite didatangkan dengan dua pilihan storan. Pilihan 64GB, akan dijual di pasaran pada harga EUR349 (~RM1631). Manakala pilihan 128GB pula harganya adalah EUR399 (~RM1865).
Xiaomi menyatakan telefon pintar ini akan dipasarkan di peringkat global termasuk pasaran Malaysia bermula pertengahan Mei ini.













