Xiaomi secara senyap-senyap telah melancarkan set kotak TV baharu iaitu Mi Box 4S MAX di pasaran China. Xiaomi Mi Box 4S MAX ditempatkan sebagai set kotak TV 4K mercu dengan sokongan input suara pintar. Ia juga merupakan generasi keempat dari model mercu Mi TV Box 4 yang dilancarkan pada 2018.
Di China, set kotak TV ini diperkenalkan dengan harga yang amat kompetitif iaitu 499 Yuan (~RM329) dan kini disenaraikan di laman e-dagang popular di China, JD.com (JingDong).
Dari segi spesifikasinya, Xiaomi Mi Box 4S MAX dikuasakan oleh pemprosesan empat teras Amlogic S905X3 64-bit. Cip ini digandingkan dengan RAM 4GB dan ruangan storan sebanyak 64GB, membolehkan ia digunakan sebagai tempat menyimpan beberapa foto dan video digital.
Set kotak TV ini juga didatangkan dengan sokongan HDMI 2.1, resolusi 4K/8K dan juga HDR dinamik. Selain itu, ia juga menyokong 8K hard decoding, kesan bunyi Dolby dan DTS, dwi-jalur Wi-Fi, pancaran skrin secara nirwayar dan banyak lagi.
Xiaomi Mi Box 4S MAX juga didatangkan dengan perisian MIUI For TV yang turut menyokong aplikasi MIJIA, arahan suara XiaoAI dan alat kawalan jauh bersuara secara Bluetooth. Menerusi set kotak TV ini juga anda boleh menggunakannya untuk menonton filem dari telefon pintar, cakera keras luaran (external hard disk) atau pemacu USB flash anda. Peranti ini juga membenarkan anda memasang permainan dan aplikasi-aplikasi lain seperti kebanyakan kotak-kotak TV lain.













