Pengguna telefon pintar Xiaomi Mi 11 di Malaysia kini boleh mengemaskini MIUI ke versi 12.5. Kemaskini berasaskan sistem operasi Android 11 secara spesifiknya adalah versi MIUI 12.5.1.

Sebelum ini Xiaomi Mi 11 dilaporkan mengalami beberapa masalah pada perisiannya menerusi versi MIUI 12 pada awal kemunculannya. Antara masalah berkenaan adalah prestasi yang tidak stabil, masalah pengurusan memori dan kurang dioptimasikan.

Kehadiran kemaskini MIUI 12.5 ini diharapkan sedikit sebanyak dapat memberikan nafas lega buat pengguna Xiaomi Mi 11. Dari segi perkakasan, Xiaomi Mi 11 menawarkan cipset premium iaitu Snapdragon 888 dan kebanyakan pengguna berharap prestasinya dapat diterjemahkan dalam penggunaannya yang lebih lancar.

Menerusi kemaskini terbaru ini, Xiaomi memaklumkan sistemnya kini mempunyai kuasa merender 20 kali lebih baik bersama-sama penambahbaikan kawalan gestur.

Selain itu, turut diperkenalkan adalah aplikasi nota baharu yang menyertakan alatan melukis, peta minda dan kawalan gestur bagi memudahkan pengguna menyalin nota.

Kemaskini MIUI 12.5 ini kini telah sedia untuk dimuat turun pada telefon pintar Xiaomi Mi 11 di Malaysia. Anda boleh memuat turunnya secara manual dengan pergi ke tetapan peranti masing-masing dan ketik pada bahagian kemaskini.

Tinggalkan komentar