Xiaomi Malaysia baru-baru ini telah menerbitkan satu iklan acah berkenaan telefon pintar Mi 9T Pro melalui halaman Facebook rasminya. Ini membayangkan telefon pintar mercu keluaran terbaru syarikat elektronik berpangkalan di China ini bakal dilancarkan tidak berapa lama lagi.

Model telefon pintar berkenaan turut dilaporkan akan dilancarkan secara rasminya untuk pasaran Eropah pada 20 Ogos 2019. Pilihan variasi yang ditawarkan nanti termasuklah RAM 6GB/ROM 64GB dan RAM 6GB/ROM 128GB dengan harga masing-masing €429 (RM2,007) dan €479 (RM2,241) khusus untuk pasaran Eropah.

Mengambil kira harga di Eropah yang pada kebiasaannya lebih tinggi berbanding harga pasaran di Malaysia, dijangkakan harga Mi 9T Pro bakal dijual pada harga di bawah RM2,000.

Terdahulu, Mi 9T Pro turut dilaporkan telah melepasi persijilan SIRIM Malaysia pada 8 Ogos baru-baru ini.

Untuk spesfikasi, telefon pintar terbaru keluaran Xiaomi ini dijangka bakal hadir dengan skrin 6.39-inci AMOLED FHD+, cipset Snapdragon 855, memori sehingga 8GB RAM, bateri 4000mAh, dan tri-kamera 48MP dibelakangnya.

Tinggalkan komentar