Xiaomi menyatakan hasrat besarnya untuk melancarkan lebih dari sedozen telefon pintar baru berkeupayaan 5G tahun depan. Kesemua peranti ini tidak semestinya peranti mercu kerana ia turut mencakupi peranti peringkat pertengahan.

Langkah ini dilakukan kerana Xiaomi berpendapat peranti 4G mungkin tidak lagi kompetitif pada tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi, Encik Lei Jun mendedahkan rancangan tahun 2020 berkenaan bersempena World Internet Conference di Wuzhen, China. Di dalam acara yang sama, beliau turut menyeru penyedia-penyedia perkhidmatan telekomunikasi supaya mempercepatkan perluasan rangkaian 5G.

Buat masa ini penguasaan Xiaomi di pasaran China telah merosot sejak kebelakangan ini. Pada suku kedua 2019, penguasaan Xiaomi telah merosot kepada 11.8% berbanding tahun sebelumnya yang mencapai tahap 13.9%.

Antara menjadi punca kemerosotan penguasaan ini adalah pengguna-pengguna di China ketika ini cenderung untuk memilih Huawei berbanding jenama lain. Kecenderungan ini bukanlah disebabkan oleh faktor kualiti atau harga semata-mata, sebaliknya ia dilakukan sebagai tanda patriotik.

Sungguhpun Xiaomi mencatatkan kemerosotan di pasaran negara asalnya, penguasaannya di pasaran Eropah dilaporkan telah meningkat kepada 9.5% berbanding 6.5% pada tahun lepas.

Sumber berita diperoleh dari Reuters

Tinggalkan komentar