Siri Xiaomi Civi yang eksklusif hanya di pasaran China akan memperkenalkan model baharunya Xiaomi Civi 2 pada 27 September ini. Telefon pintar peringkat menengah ini masih lagi mengekalkan rekabentuk yang ringan dan juga comel.
Selain itu, Xiaomi Civi 2 juga dijangka akan mengadakan Trend Partner melalui tema “Hello Kitty”.
Civi 2 juga akan mempunyai tri-kamera dengan sebuah kamera 50MP yang ditempatkan pada ruangan khas yang sinonim dengan ciri rekaan Xiaomi seperti yang terdapat pada siri Xiaomi 12. Ruangan tersebut menempatkan kamera utama dan ultra lebar di dalam bulatan yang besar berkenaan. Manakala kamera yang kecil 2MP pada tri-kamera tersebut ditempatkan bersebelahan dengan dwi-flash LED.
Tidak banyak maklumat mengenai paparan hadapan telefon pintar ini. Dijangkakan paparan hadapannya turut menyediakan sokongan pengimbas cap jari terbina dalam. Ini kerana butang kuasanya yang kelihatan sedikit tertonjol keluar mungkin tidak menyediakan sokongan cap jari.
Paparan berkenaan juga dijangka hadir dengan skrin OLED yang mungkin sama seperti Civi 1S yang menawarkan resolusi Full HD+ dan kadar penyegaran semula 120Hz. Harga jualan dan tarikh kemasukannya ke pasaran akan diumumkan pada Selasa minggu depan ketika pelancarannya.















