Utama Android Xiaomi Xiaomi 17 Pro dan 17 Pro Max disahkan mempunyai Skrin Kedua di...

Xiaomi 17 Pro dan 17 Pro Max disahkan mempunyai Skrin Kedua di bahagian belakang

54
0

Xiaomi telah mengesahkan akan melancarkan telefon pintar dengan skrin kedua kecil pada bahagian belakang iaitu Xiaomi 17 Pro dan Xiaomi 17 Pro Max dalam bulan ini. Ia telah dikongsikan di dalam sebuah hantaran video pendek di Weibo.

Seperti di dalam maklumat tertiris pada minggu lepas, telefon pintar berkenaan hadir dengan bonggol kamera lebar yang merentasi secara melintang. Selain menempatkan dua daripada tiga kamera di belakangnya, ruangan tersebut juga menempatkan skrin kedua berkenaan. Tidak seperti M11 Ultra, paparan ini memenuhi ruangan bonggol tersebut kecuali pada bahagian kameranya.

Xiaomi tidak memperincikan skrin yang dinamakan sebagai “Magic Back Screen” tersebut, namun beberapa aspeknya diketengahkan di dalam video pendek yang dikongsikannya. Antaranya muka jam, notifikasi dan pemidang tilik (viewfinder) kamera belakang.

Ciri-ciri ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana telefon pintar gaya katup (flip) seperti Xiaomi Mix Flip 2 dan Samsung Galaxy Z Flip 7 juga menawarkannya.

Siri Xiaomi 17 dijangka akan dilancarkan dalam bulan ini yang bersinambungan dari siri Xiaomi 15. Menurut Presiden Xiaomi Lu Weibing, angka 16 sengaja dilangkau untuk terus ke siri 17 ini. Ia dilihat sebagai usaha untuk menempatkannya sebagai pesaing kepada siri Apple iPhone 17 yang baharu dilancarkan.

Tinggalkan komentar