Hampir dua bulan selepas hubungan kerjasamanya diumumkan, Xiaomi dan Leica secara rasminya telah melancarkan kelompok pertama peranti yang menggabungkan kedua-dua jenama tersebut. Salah satunya, Xiaomi 12S Ultra menampilkan kamera yang agak besar dengan jenama Leica Summicron pada bahagian belakangnya.
Menurut Xiaomi, lensa asferik 8P pada kamera utama 12S Ultra ini direka bagi mengatasi sebilangan masalah biasa yang dihadapi pada fotografi mudah alih seperti nyalaan (flare), pantulan pada lensa dan aberasi kromatik (chromatic aberration).
Selain itu, kamera utamanya ini juga menggunakan sensor besar 1-inci Sony IMX989 yang mempunyai resolusi natif 50.3MP. Pun begitu, outputnya akan dikurangkan kepada 12.5MP menerusi proses gabungan cas dari pixel bersebelahan (binning) bagi membantu meningkatkan kualiti imej di dalam persekitaran kurang pencahayaan.
Tidak ketinggalan, kamera ultra-lebar bersudut 128-darjah pada telefon ini juga menampilkan sensor Sony IMX586 48MP berukuran 0.5-inci. Bukan itu sahaja, Xiaomi juga menyediakan sebuah lagi sensor IMX586 untuk kamera telefoto berperiskop 120X 12S Ultra. Pada bahagian hadapan pula, disediakan sebuah kamera 32MP RGBW.
Skrin Xiaomi 12S Ultra hadir dengan panel paparan AMOLED 6.73-inci dengan resolusi natif 3200 x 1440. Melalui keupayaan kadar penyegaran semula adaptif sehingga 120Hz, skrin daripada Samsung pada telefon Xiaomi ini juga menyokong Dolby Vision, HDR10+, HDR10, dan standard HLG.
Berketebalan 9.06mm dan seberat 225gram, Xiaomi 12S Ultra menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 yang mampu memberikan peningkatan prestasi sebanyak 10%, namun mampu mencapai 30% kurang penggunaan tenaga.
Tambahan dari itu, telefon pintar dengan penarafan kelasakan IP68 ini juga ditawarkan dengan pilihan RAM LPDDR5-6400 sehingga 12GB dan storan dalaman UFS 3.1 512GB.
Xiaomi sekali lagi menggunakan khidmat kepakaran Harman Kardon bagi bagi penalaan audio pada pembesar suara stereo Xiaomi 12S Ultra ini. Dalam pada masa yang sama, telefon ini juga menyokong Dolby Atmos bagi menghasilkan kualiti audio yang mantap.
Melengkapkan spesifikasinya, bateri berkapasiti 4,860mAh turut dilengkapkan dengan sokongan pengecas secara berwayar sehingga 67W dan 50W secara nirwayar. Selain itu, Xiaomi 12S Ultra juga boleh melakukan pengecasan berbalik pada peranti lain dengan output kuasa sehingga 10W.
https://www.youtube.com/watch?v=3WozIXS0rdM
Menurut Xiaomi, keupayaan pengecasan pantasnya diuruskan oleh cip Surge P1 yang sebelum ini digunakan pada Xiaomi 12 Pro. Sebuah lagi cip pemprosesan khusus turut dimuatkan ke dalam telefon pintar ini bagi menguruskan bateri iaitu Surge G1.
Buat masa ini Xiaomi 12S Ultra bersama-sama siri Xiaomi 12S hanya dilancarkan di pasaran China sahaja. Pun begitu, Xiaomi menegaskan kerjasamanya dengan Leica akan memberikan kesan jangka panjang yang tidak sekadar tamat pada siri 12S. Malahan ia akan diperluaskan ke telefon-telefon lain yang akan dipasarkan secara global kelak.
Xiaomi 12S Ultra dengan 8GB/256GB dijual pada harga CNY5,999 (~RM3,955). Manakala bagi pilihan RAM dan storan 12GB/256GB dan 12GB/512GB pula, ia masing-masing akan dijual pada CNY6,499 (~RM4,285) dan CNY6,999 (~RM4,615).













