Xiaomi 12 Lite secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia pada 17 Ogos baru-baru ini. Telefon pintar ini merupakan model terkini dari siri telefon pintar mercu Xiaomi pada harga lebih mesra poket.
Ia menampilkan rekaannya yang sama seperti adik-beradiknya yang lain, cuma dibezakan pada permukaan yang lebih rata pada hadapan, belakang dan di sekeliling bingkainya. Paparan telefon pintar ini menggunakan panel AMOLED 6.55-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz, kadar pensampelan sentuhan 240Hz, dan HDR10+. Melalui perlindungan Corning Gorilla Glass 5, Xiaomi 12 Lite turut menyokong Dolby Vision.
Selain didatangkan dengan sepasang pembesar suara, ia juga menyediakan pengimbas cap jari terbina dalam paparan, dan juga port USB-C bagi tujuan pemindahan data dan juga pengecasan. Sebagaimana varian yang dipasarkan secara global yang lain, varian di Malaysia turut menawarkan pilihan warna Black, Lite Pink, dan Lite Green.
Untuk spesifikasi dalamannya pula, Xiaomi 12 Lite dilengkapkan dengan Qualcomm Snapdragon 778G yang turut menyediakan sokongan rangkaian 5G dan juga dengan GPU Adreno 642L. Turut disediakan RAM 8GB dengan pilihan storan sehingga 256GB. Telefon pintar ini juga hadir dengan sokongan dwi-SIM dengan dwi-sedia 5G.
Telefon pintar yang menggunakan antaramuka Xiaomi MIUI 13 berasaskan Android 12 ini juga menyokong ketersambungan WiFi, NFC dan Bluetooth 5.2. Ia mempunyai bateri berkapasiti 4,300mAh dengan sokongan pengecasan pantas 67W yang turut disertakan bersama-sama di dalam kotak pembeliannya.
Kamera-kamera Xiaomi 12 Lite terdiri daripada tri-kamera pada bahagian belakangnya iaitu kamera utama 108MP, sebuah kamera ultra-lebar 8MP dan satu kamera makro 2MP. Di depannya pula sebuah kamera 32MP ditempatkan pada bahagian berpenebuk lubang paparan telefon pintar ini. Uniknya pada sebelah hadapan telefon ini terdapat lampu LED “Selfie Glow” pada penjuru kiri atas bagi membantu pencahayaan ketika anda berswafoto.
Harga Xiaomi 12 Lite di Malaysia
Xiaomi 12 Lite berharga RM1,699 bagi pilihan konfigurasi 8GB + 128GB dan RM1,899 bagi pilihan konfigurasi 8GB + 256GB. Pra-tempahan kini boleh dilakukan menerusi kedai Xiaomi di seluruh negara dan juga secara dalam talian di Shopee dan Lazada. Bersempena pelancarannya, Xiaomi 12 Lite dijual pada harga istimewa masing-masing RM 1,599 dan RM 1,799 dari 19 Ogos sehingga 26 Ogos 2022.













