Tidak lama selepas siri Xiaomi 12S yang dikhususkan untuk pasaran China diperkenalkan, Xiaomi secara rasminya memperkenalkan sebuah lagi model siri Xiaomi 12 melalui Xiaomi 12 Lite. Selaku varian paling mampu milik, telefon pintar ini didatangkan dengan cipset Snapdragon 778G dan kamera utama 108MP.

Xiaomi 12 Lite menampilkan paparan berbingkai nipis AMOLED 6.55-inci dan diperkasakan dengan Corning Gorilla Glass 5. Panelnya juga menampilkan kadar penyegaran semula 120Hz dan kadar pensampelan sentuhan 240Hz serta sokongan HDR10+ dan Dolby Vision.

Selain itu, telefon ini juga hadir dengan sepasang pembesar suara, pengimbas cap jari terbina bawah skrin, dan port USB-C. Pilihan warnanya pula ditawarkan dengan Hitam, Merah Jambu dan Hijau.

Spesifikasi perkakasan dalamannya pula hadir dengan cip Snapdragon 778G dengan GPU Adreno 642L bersama-sama pilihan RAM sehingga 8GB dan storan UFS 2.2 sehingga 256GB. Xiaomi 12 Lite juga didatangkan dengan sokongan dwi-SIM dengan 5G dwi-bersedia, MIUI 13 berasaskan Android 12 dan ketersambungan WiFi, NFC dan Bluetooth 5.2.

Telefon ini juga menyediakan bateri berkapasiti 4,300mAh dengan sokongan pengecasan pantas 67W. Menurut Xiaomi, pengecas turut disertakan bersama-sama Xiaomi 12 Lite di dalam kotak pembungkusannya.

Fotografi telefon pintar ini menampilkan tetapan tri-kamera yang mengandungi kamera utama 108MP, ultra-lebar 8MP, dan makro 2MP. Pada sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 32MP dengan sensor Samsung GD2.

Xiaomi 12 Lite kini boleh dipra-tempah di beberapa pasaran terpilih dan buat masa ini pasaran Malaysia masih lagi belum menerima maklumat sama ada akan menerima telefon pintar ini kelak.

Telefon pintar ini boleh didapati pada harga US$400 (~RM 1,770) untuk konfigurasi 6GB + 128GB, US$450 (~RM 1,992) untuk 8GB + 128GB, dan US$ 500 (~RM 2,213) untuk versi paling tinggi 8GB + 256GB.

Tinggalkan komentar