Xiaomi akan melancarkan Xiaomi 12 di pasaran luar China paa minggu depan. Telefon pintar peringkat mercu keluarannya yang terkini ini dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 chip dengan sokongan 5G.

Acara pelancaran peringkat global ini akan berlangsung pada 15 Mac 2022 jam 8 malam waktu Malaysia. Anda boleh mengikutinya secara langsung menerusi laman Facebook dan YouTube rasmi Xiaomi.

Berdasarkan video pengolokannya, Xiaomi dilihat akan melancarkan dua buah model sahaja dari siri ini. Namun, terdapat kemungkinan Xiaomi akan memperkenalkan model yang lebih rendah harganya, Xiaomi 12X yang menggunakan Snapdragon 870.

Dijangkakan Xiaomi akan mengumumkan harga dan tarikh jualan model-model Xiaomi 12 ini di pasaran Malaysia selepas acara pengumuman tersebut. Xiaomi 12 telah dilancarkan di pasaran China pada hujung tahun 2021 dan mungkin menjadi salah satu telefon pintar mercu kompak paling berkuasa di pasaran ketika ini.

Secara ringkasnya,  Xiaomi 12 menampilkan paparan Full HD+ 6.28-inci manakala Xiaomi 12 Pro pula hadir dengan paparan Quad HD+ 6.73-inci. Kedua-dua skrin yang menggunakan OLED ini menawarkan kadar penyegaran semula 120Hz dengan kadar pensampelan sentuhan 480Hz.

Bagi meningkatkan ciri kelasakannya, kedua-dua model Xiaomi 12 ini diperkasakan dengan Corning’s Gorilla Glass Victus pada paparan sebelah hadapannya. Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, kedua-dua telefon ini menggunakan Snapdragon 8 Gen 1 bersama-sama RAM LPDDR5 12GB dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB.

Kamera Xiaomi 12

Untuk kameranya, Xiaomi 12 mengandungi tri-kamera dengan kamera utamanya Sony IMX766 50MP OIS, serta satu kamera ultra-lebar 13MP dan satu kamera makro 5MP. Dalam pada masa yang sama, versi Pro juga mempunyai kamera 50MP berkenaan. Namun, ia turut ditambah dengan satu kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 2x dan satu kamera ultra-lebar 50MP. Kedua-dua model ini juga menawarkan kamera hadapan yang sama iaitu 32MP.

Sama seperti kebanyakan telefon pintar peringkat mercu sekarang ini, Xiaomi 12 turut tidak menyediakan bicu audio 3.5mm. Pun begitu, Xiaomi 12 Pro menawarkan empat pasang pembesar suara stereo yang mengandungi unit woofer dan tweeter dengan penalaan khas oleh Harman Kardon. Untuk Xiaomi 12 pula, hanya dua pasang pembesar suara stereo disediakan.

Dari segi ketersambungannya, telefon pintar Xiaomi ini menyediakan sokongan 5G, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2 dan NFC. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada telefon ini menyediakan ciri kerintangan air dan debu.

Sungguhpun hadir dengan saiz kompak, Xiaomi 12 mampu menawarkan bateri berkapasiti 4,500mAh. Xiaomi 12 Pro yang juga bersaiz kompak juga, turut menerima bateri berkapasiti 4,600mAh.

Untuk sokongan pengecasan pantas pula, model Xiaomi 12 menyokong pegnecasan pantas 67W, manakala Xiaomi 12 Pro pula menawarkan sokongan pengecasan pantas 120W menggunakan USB-C. Melalui sokongan tersebut, telefon ini mampu dicaskan dalam tempoh 18 minit untuk penuh atau 24 minit dalam mod biasa. Turut disediakan, sokongan pengecasan pantas nirwayar 50W dan juga pengecasan nirwayar berbalik 10W.

Di China, Xiaomi 12 dengan RAM 8GB dan storan 128GB dijual pada harga CNY 3,699 (~RM2,449). Manakala Xiaomi 12 Pro pula dengan konfigurasi yang sama dijual dengan harga CNY 4,699 (~RM3,111). Amat menarik untuk dilihat jika Xiaomi mampu hadir ke pasaran Malaysia selaku telefon pintar Snapdragon 8 Gen 1 paling berharga mampu milik di Malaysia memandangkan Motorola Edge 30 Pro kini dijual di pasaran tempatan pada RM2,699.

Tinggalkan komentar