Minggu lalu kita telah menyaksikan pengumuman Xiaomi 11T dan 11T Pro. Kini, telefon Xiaomi model terbaru berkenaan telah pun hadir ke pasaran tempatan. Pengumuman ini telah dibuat menerusi laman Facebook rasmi Xiaomi Malaysia.

Kedua-dua telefon Xiaomi baharu ini dilihat hadir ke pasaran Malaysia tanpa perubahan yang ketara. Untuk Xiaomi 11T, didapati telefon berkenaan hadir dengan paparan AMOLED 6.67-inci 120Hz, cipset MediaTek Dimensity 1200 Ultra dan bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas sehingga 67W.

Manakala bagi Xiaomi 11T Pro pula, ia hadir dengan cipset Qualcomm Snapdragon 888 bersama-sama bateri yang menyokong pengecasan sehingga 120W. Untuk kamera pula, masing-masing Xiaomi 11T dan 11T Pro menampilkan sensor utama 108MP, sudut lebar 8MP, dan tele-makro 5MP. Kedua-duanya juga mempunyai kamera hadapan 16MP.

Tidak ketinggalan, model telefon Xiaomi baharu ini mempunyai konfigurasi RAM dan storan tambahan. Xiaomi 11T contohnya, mempunyai pilihan antara 8GB + 128GB dan 9GB + 256GB, yang berharga masing-masing RM1,699 dan RM1,899. Untuk Xiaomi 11T Pro pula, pilihan 8GB + 256GB berharga RM2,099, manakala versi 12GB + 256GB pula berharga RM2,299.

Anda boleh mendapatkan Xiaomi 11T dan Xiaomi 11T Pro bermula 2 Oktober ini melalui kedai dalam talian rasmi Xiaomi di Lazada dan Shopee. Pra-tempahan juga boleh dibuat sehingga 29 September ini dan anda akan menerima Mi Watch Lite dan Mi True Wireless Earphone 2 Basic secara percuma.

Tinggalkan komentar