Windows 8.1 disasarkan akan ditamatkan sokongannya pada 10 Januari 2023 dan Microsoft kini sedang giat menggalakkan penggunanya beralih ke sistem operasi yang lebih terkini, Windows 11.

Pengguna Windows 8.1 pada masa ini akan menerima paparan notifikasi peringatan berskrin penuh berkenaan penamatan tersebut. Notifikasi berkenaan menyatakan:

“January 10, 2023 is the last day Microsoft will offer security updates and technical support for PCs that run Windows 8.1. We are reaching out now to thank you for your loyalty and help you prepare for what’s next.”

Penamatan Perkhidmatan Sokongan Windows 8.1

Pautan ‘Learn More’ akan membawa pengguna ke laman web rasmi Microsoft. Dalam pada masa yang sama, pengguna juga boleh menangguhkan notifikasi tersebut untuk 35 hari dengan klik pada ‘Remind me later,’ atau sehingga Januari 2023 melalui butang ‘Remind me after the end of support date’.

Notifikasi ini diperkenalkan pada 12 Julai 2022 sebagai sebahagian dari kemaskini kumulatif KB5015874. Hanya pengguna persendirian sahaja menerima notifikasi ini, manakala pengguna Pro dan Enterprise pula tidak menerimanya.

Perkembangan ini merupakan sebahagian dari usaha ke arah penggunaan sistem operasi yang lebih terkini oleh Microsoft. Selain notifikasi berkenaan, Microsoft turut memaklumkan penamatan tampalan keselamatan untuk Microsoft 365 pada peranti Windows 7 dan Windows 8.1 Sistem operasi lama juga akan disekat dari pemasangan baharu aplikasi Office.

Windows 8 dilancarkan pada 2012 dengan kemaskini besar Windows 8.1 diperkenalkan setahun kemudian. Penamatan sokongan ini menandakan pengakhiran bagi hampir sedekad Windows 8 diperkenalkan kepada pengguna.

Tinggalkan komentar