Windows 11 baru sahaja dilancarkan di dalam minggu ini dan ditawarkan sebagai naik taraf percuma bagi pengguna Windows 10. Bagaimanapun, keperluan sistem minimum untuk sistem operasi baharu ini adalah lebih tinggi berbanding Windows 10 seperti perlu mempunyai cip Trusted Platform Module (TPM) 2.0.
TPM merupakan pemprosesan mikro yang direka untuk melakukan tugas-tugas keselamatan seperti menyimpan kekunci enkripsi dan maklumat log masuk.
Microsoft telah mewajibkan penggunaan cip TPM 2.0 pada peranti Windows yang diperakui sejak 2015. Ini menjadikan, peranti yang dikeluarkan sebelum tahun 2015 berkemungkinan tidak mempunyai cip ini dan tidak boleh dinaik taraf ke Windows 11.
Selain itu, bagi yang memasang sendiri PC desktop, anda juga mungkin tidak menyedari sama ada cip TPM telah diintegrasikan terus ke CPU dalam bentuk Intel Platform Trust Technology atau AMD Platform Security Processor fTPM. Itupun bergantung pada tahun keluaran cip Intel atau AMD yang digunakan kerana ianya mula diperkenalkan sekitar 5 hingga 7 tahun yang lepas.
Almost every CPU in the last 5-7 years has a TPM. For Intel its called the “Intel PTT” which you set to enabled. For AMD it would be “AMD PSP fTPM”. TPMs have been required for OEM certification since at least 2015 and was announced in 2013: https://t.co/1qwfwKSrdd
— DWIZZZLE (@dwizzzleMSFT) June 24, 2021
Jika komputer anda memiliki cip TPM sekalipun, anda masih lagi perlu memastikan Secure Boot diaktifkan pada BIOS papan induk terlebih dahulu sebelum boleh menaik taraf. Setiap pengeluar mempunyai langkah yang berbeza untuk memasuki ke tetapan BIOS, jadinya lebih baik jika anda merujuk pada manual papan induk anda masing-masing.
Cara membuat semakan TPM 2.0 pada PC anda untuk menaik taraf ke Windows 11
Secara amnya terdapat dua kaedah untuk memeriksa sama ada komputer desktop atau laptop anda mempunyai cip TPM. Salah satunya adalah dengan Windows + R, dan taipkan tpm.msc. Pada tetingkap yang muncul, anda boleh melihat sama ada ianya wujud atau jika tidak wujud, ralat “Compatible TPM cannot be found” akan dipaparkan.
Selain itu, untuk lebih mudah anda juga boleh memuat turun dan memasangkan aplikasi PC Health Check dari Microsoft. Aplikasi ini akan menunjukkan sama ada PC anda mampu dinaik taraf ke Windows 11 atau tidak.
Jika PC anda tidak boleh dinaik taraf ke Windows 11, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan, namun mempunyai risikonya tersendiri. Antaranya memayakan (virtualizing) modul TPM 2.0 menerusi VMWare Workstation Pro 16 seperti yang dilakukan oleh ExtremeTech. Atau anda boleh membeli dan memasangkan modul TPM 2.0 pada papan induk, bergantung pada jenis papan induk. Tetapi, ianya mungkin agak sukar untuk dilakukan bagi kebanyakan pengguna.













