Pada kemaskini Windows 10 Creators Update (versi 1703) dahulu, Microsoft telah menambahkan aplikasi baharu Paint 3D ke dalam Windows 10. Penambahan ini diberikan bagi membantu pengguna melukis di dalam 2D dan kemudian menghasilkan objek 3D.
Aplikasi Paint 3D ini juga membolehkan anda mengubah foto kepada model 3D. Selain turut berkeupayaan mengubahsuai foto dengan menambahkan warna dan tekstur, serta mengaksesnya dari File Explorer.
Bagaimanapun, bagi pengguna yang tidak menggunakan Paint 3D, anda mungkin merasakan folder 3D pada File Explorer ini tidak diperlukan.
Anda tidak boleh membuangnya dari File Explorer menggunakan Control Panel atau Settings. Jika ingin membuangnya, anda perlu menggunakan Registry editor dan memadamkan entri tersebut. Agak leceh dan berisiko jika anda tersalah langkah.
Melalui kemaskini Sun Valley yang akan datang nanti, Microsoft dilihat cuba mengurangkan keserabutan di dalam File Explorer. Salah satunya adalah dengan menyorokkan folder 3D Objects secara default.
Selepas kemaskini tersebut kelak, folder berkenaan tidak akan lagi ditunjukkan di bawah ‘This PC’. Anda akan dapat melihatnya dengan klik kanan pada ‘This PC’ dan pilih “Show all folders” pada jendela navigasi. Selain itu, anda juga boleh mengaksesnya dengan menaipkan %userprofile% pada File Explorer:
Penambahbaikan pada Bluetooth
Kemaskini terbaru ini juga bakal memperlihatkan perubahan terbaru pada notifikasi pemadanan Bluetooth yang kini akan dipaparkan untuk tempoh yang lebih lama pada skrin.
Ini membolehkan anda berinteraksi dengan peranti Bluetooth anda terus melalui notifikasi. Bagi anda yang tidak sempat mengendalikan melalui notifikasi tersebut, anda boleh menguruskannya melalui Action Centre. Anda juga boleh memadamkan notifikasi tersebut dengan menekan butang pangkah (X) pada tetingkap tersebut.













