Kemaskini yang dikenali sebagai Patch Tuesday telah pun diterbitkan pada 10 Mac lalu bersama-sama kemaskini kumulatif untuk semua versi Windows yang disokong. Selepas kemaskini Mei 2019 diterbitkan, adalah sesuatu kebiasaan buat Microsoft menerbitkan kemaskini pilihan untuk Windows 10 versi 1909, 1903, 1809 dan lain-lain dengan pembaikan bukan-keselamatan.
Pada 24 Mac lalu, beberapa kelompok kemaskini pilihan telah hadir untuk Windows 10 versi 1909, dan 1903 dengan penambahbaikan bukan-keselamatan. Windows 10 KB4541335 membawakan nombor binaan 18362.752 untuk versi 1903 dan 18363.752 untuk versi 1909, dan peningkatan ini disertakan pada tampalan (patch) ini adalah sama untuk kedua-dua versi.
Kemaskini pilihan ini membaiki masalah yang menyebabkan pengguna tidak boleh membisukan (mute) aplikasi Your Phone dan masalah yang menghalang pengguna dari menutup apilkasi-aplikasi tertentu. Masalah pepijat lain termasuklah aplikasi berkandungan DRM seperti Netflix terjeda (pause) di latar apabila pengguna bertukar-tukar antara tetingkap aplikasi turut telah dibaiki.
Berdasarkan laporan, Windows 10 KB4541335 boleh digunakan tanpa sebarang masalah pada kebanyakan pengguna. Hanya sebahagian kecil pengguna sahaja yang mengadu mengalami masalah seperti sistem tergendala dan juga bermasalah apabila memainkan permainan komputer.
Salah seorang pengguna di Feedback Hub melaporkan KB4541335 telah menyebabkan paparan Blue screen of Death (BSOD) muncul dengan notis “whea_uncorrectable_error”. Pengguna berkenaan menyatakan ralat berkenaan muncul apabila menonton video YouTube melalui pelayar Chrome Versi 80.0.3987.149.
Manakala seorang pengguna lagi melaporkan kemaskini kumulatif ini telah menyebabkan penggunaan CPU menjadi terlalu tinggi ketika peranti sedang dicaskan.
Pada ketika ini, Microsoft menyatakan pihaknya tidak mengetahui tentang isu yang telah disebabkan oleh kemaskini ini.
Oleh kerana kemaskini kumulatif ini hanyalah pilihan sahaja, pengguna yang berdepan dengan masalah akibat kemaskini ini boleh menyahpasangnya secara manual.
Bagi anda yang memilih untuk tidak mengemaskini PC anda atau telah menyahpasang kemaskini KB4541335, kemaskini pembaikan untuk masalah ini akan hadir melalui kemaskini Patch Tuesday April.













