Kemaskini sistem operasi Windows 10 acap kali tidak dapat lari dari masalah setiap kali kemaskini terkininya dilancarkan. Kali ini, kemaskini Windows 10 1903 dilaporkan menyebabkan masalah pada proses ‘boot’, fungsi percetakan, menu Start, Windows Search dan VMWare Workstation.

Menurut laman BleepingComputer, masalah yang terdapat pada proses ‘boot’, pencetak dan menu Start ini disebabkan oleh kemaskini kumulatif terbaru KB4524147. Masalah pada sambungan mesin pencetak sebelum ini pernah membelenggu pada kemaskini KB4522016.

Untuk masalah menu Start pula, ia akan memaklumkan kepada pengguna menerusi notis, “Your Start menu isn’t working. We’ll try to fix it the next time you sign in” – bagaimanapun, masalah ini tidak dapat diselesaikan juga walaupun pengguna sudah mendaftar masuk (sign-in) semula.

Paling banyak yang diketemukan menerusi laman Bleeping Computer adalah masalah yang berkaitan proses ‘boot’. Sesetengah pengguna melaporkan fungsi ‘auto-fix’ yang disediakan oleh Microsoft tidak membantu mereka menyelesaikan masalah berkenaan.

Tidak mengemaskini buat sementara waktu

Secara keseluruhannya, laman Bleeping Computer merumuskan masalah kemaskini ini masih tidak menawarkan sebarang jalan penyelesaian yang jelas. Terdapat juga kekeliruan sama ada kemaskini ini adalah kemaskini kumulatif dengan pembaikan keselamatan atau ianya kemaskini keselamatan bersama-sama pembaikan bukan-keselamatan. Justeru, pengguna diingatkan supaya tidak mengemaskini ke versi 1903 sementara pembaikan yang menyeluruh dapat disediakan oleh Microsoft.

Dalam perkembangan yang berkaitan, laman Windows Latest melaporkan kemaskini kumulatif pilihan Windows 10, KB4517211 telah menjadi punca masalah pada fungsi carian Windows Search dan Cortana. Sebahagian pengguna mengadukan masalah ini menerusi laman forum komuniti Microsoft dan Hab Maklumbalas (Feedback Hub).

Untuk isu VMWare pula, laman Windows Latest melaporkan PC-PC pengguna yang terkesan akan menerima notis yang berbunyi, “VMware Workstation Pro can’t run on Windows: Check for an updated version of this app that runs on Windows.”. Pengguna mungkin perlu menunggu sehingga kemaskini terbaru untuk masalah berkenaan diterbitkan untuk penyelesaian.

Masalah-masalah ini bagaimanapun boleh diselesaikan oleh pengguna yang terkesan dengan menyahpasang kemaskini-kemaskini yang dilaporkan menjadi punca kepada masalah berkenaan.

Bulan lepas, telah dilaporkan kemaskini Windows 10 menjadi punca kepada masalah pada Menu Start, fungsi ‘Search’, masalah pada USB dan audio, penurunan warna, penggunaan CPU mencanak, dan pengguna secara tiba-tiba dilaporkan terputus hubungan ke internet.

Sumber berita diperoleh dari Bleeping Computer dan Windows Latest

 

Tinggalkan komentar