Winamp merupakan aplikasi pemain muzik yang pertama kali dilancarkan pada 1997 dan sejak itu menjadi pemain media terbaik untuk PC. Bagaimanapun, aplikasi berkenaan mula mengalami kemerosotan selepas rentetan dari kemaskini yang tidak digemari penggunanya pada awal 2000-an.
Setelah beberapa kali usaha menghidupkan aplikasi pemain media ini menemui jalan buntu, Winamp kini mula kembali aktif untuk dibangunkan semula. Bezanya untuk kali ini ia hadir dalam bentuk yang amat berbeza dengan keadaan asal ketika ia diwujudkan.
Pemain media Winamp yang asal telah dibangunkan sepanjang tahun 1997 sehingga 2013 dengan terbitan akhirnya v5.666.3516. Pada Oktober 2018, binaan yang tidak siap v5.8 telah tertiris dan Radionomy, pemilk Winamp yang kini dikenali sebagai Shoutcast, telah berhasrat untuk menjadikannya boleh diakses secara umum.
Lebih banyak lagi kemaskini dijanjikan sejak dari itu, namun tidak pernah dilunaskan. Kini, laman web Winamp sekali lagi direka semula dan menjanjikan “inovasi yang lebih segar diberikan oleh pemain audio paling ikonik di dunia ini.”
Tidak banyak maklumat yang dapat dipeolehi berkenaan projek baharu Winamp ini dan kelihatan ia tidak seperti aplikasi pemain muzik biasa. Pada salah satu bahagian di dalam laman rasminya menyatakan pihaknya akan menyediakan “ruang unik untuk para pencipta kandungan” dan akan “menghubungkan dengan peminat untuk mendapatkan pendapatan yang lebih wajar”.
Menurut AudioValley, syarikat induk yang memiliki Shoutcast dan Winamp menyatakan Winamp bakal menjadi:
“become the one-stop platform for audio enthusiasts, which connects creators and consumers of music, podcasts, radio stations, audiobooks, and any other peripheral content.”
Pembangunan Winamp baharu ini dilihat lebih terarah pada platfrom penstriman audio baharu seperti Spotify dan JOOX berbanding aplikasi pemain audio. Mungkin AudioValley sekadar menggunakan jenama Winamp bagi sebuah perkhidmatan penstriman muzik baharunya.













