Huawei telah dikembalikan semula keahliannya di dalam tiga persatuan teknologi penting peranti mudah alih setelah digantung sementara berikutan arahan sekatan oleh pentadbiran Presiden Trump.

Masalah-masalah yang dihadapi oleh Huawei kini merupakan rentetan dari peristiwa perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat. Episod malang buat Huawei bermula apabila Google menamatkan urusan perniagaannya Huawei yang mengakibatkan Huawei tidak lagi dibenarkan untuk menggunakan perisian-perisian dari Google termasuk sistem operasi Android.

Namun, untuk bahagian sumber terbuka dan teras Android masih lagi dibenarkan memandangkan ianya dibawah perlesenan sumber terbuka. Lesen khusus di bawah Google sahaja yang tidak dibenarkan termasuk aplikasi penting OS Android seperti Play Store, Gmail, Youtube dan sebagainya.

Seterusnya masalah-masalah lain datang menghempap Huawei satu-persatu apabila syarikat-syarikat berpangkalan di A.S memutuskan hubungan dengannya termasuk pengeluar cip dan persatuan-persatuan teknologi.

Bagaimanapun, persatuan-persatuan teknologi yang dimaksudkan iaitu WiFi Alliance, Bluetooth SIG, dan SD Association telah membuat pusingan U apabila memutuskan untuk menerima kembali Huawei ke pangkuan mereka.

Berita ini disambut baik oleh Huawei kerana sekurang-kurangnya dapat mengurangkan salah satu beban dalam mencari jalan penyelesaian kemelut sekatan perdagangan ini.

Dalam peringkat ini sebaiknya semua pihak cuba sedaya upaya mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan kesan jangka panjang yang boleh memburukkan industri telekomunikasi dunia.

Sumber berita diperoleh dari 9to5Google

Tinggalkan komentar