Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengorak selangkah lagi dalam memerangi berita palsu wabak COVID-19. Aplikasi WHO MyHealth bakal dilancarkan awal minggu ini akan mnyediakan maklumat yang sahih dan boleh didapati di Android dan iOS.
Aplikasi WHO MyHealth dibina sebagai sumber terbuka oleh bekas kakitangan-kakitangan Google dan Microsoft dengan usahasama penasihat-penasihat dan wakil-wakil WHO. Versi aplikasi ini akan menyediakan maklumat yang sama dengan bot WhatsApp WHO.
Versi yang akan datang aplikasi ini akan memaparkan notifikasi berdasarkan lokasi masing-masing penggunanya. Terdapat juga rancangan untuk memasukkan fungsi triaj layan diri yang membantu pengguna memeriksa simptom-simptom COVID-19 sendiri.
Versi pembangunan aplikasi ini juga sedang mempertimbangkan kemasukan fungsi pengesanan kontak berdasarkan data sejarah lokasi telefon pengguna. Bagaimanapun, fungsi ini tidak dapat dipastikan sama ada bakal dimasukkan atau tidak memandangkan ianya bakal memberi kesan terhadap privasi pengguna.
Pembangun-pembangun aplikasi WHO MyHealth menjangkakan aplikasi bakal tersedia di gedung Google Play dan Apple App Store selewat-lewatnya esok, 31 Mac 2020.













