Penggunaan WhatsApp Web buat masa ini boleh digunakan dengan melalui cara mengimbas kod QR yang disediakan melalui telefon pengguna yang dipasangkan aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, tidak berapa lama lagi satu lagi kaedah pengesahan bakal diperkenalkan oleh platform borak media sosial ini. Kaedah yang dimaksudkan adalah melalui imbasan cap jari melalui telefon pengguna.

WABetaInfo melaporkan penemuan ini menerusi permohonan aplikasi WhatsApp kepada Google Play Beta Program. Berdasarkan salinan skrin yang dibuat, dijangkakan pengguna boleh menggunakan pengimbas cap jari pada telefon pintar untuk membuat pengesahan penggunaan WhatsApp Web.

Setakat ini tidak dinyatakan sama ada pengenalan kaedah ini merupakan penambahan kepada perlindungan privasi dari penggunaan kod QR atau bakal menggantikan kaedah pengesahan sedia ada.

Menurut WABetaInfo, fungsi terbaru ini diketemukan pada WhatsApp versi 2.20.200.10. Pada ketika ini, versi terkini yang diterbitkan bagi kegunaan umum adalah 2.20.198.15.

Tinggalkan komentar