Aplikasi permesejan WhatsApp telah menyekat puluhan akaun milik wartawan warga Palestin yang membuat liputan keganasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Sekatan akaun ini diterima tidak lama selepas gencatan senjata di antara tentera Zionis Israel dengan pejuang Hamas dilaksanakan. Dua orang wartawan AFP memaklumkan telah menerima notis sekatan akaun masing-masing daripada WhatsApp.
Wartawan lain di Baitulmaqdis, Tebing Barat, dan Gaza turut melaporkan menerima sekatan akaun masing-masing.
Sekumpulan krew saluran berita Al Jazeera pula telah memaklumkan akaun WhatsApp milik mereka telah pun dipulihkan kembali selepas pihaknya menghantar aduan kepada pemilik WhatsApp, Facebook.
Arab Center for the Development of Social Media menyatakan sekatan akaun WhatsApp ini bukanlah kes-kes yang terpencil. Sebanyak 500 kes pelanggaran hak digital rakyat Palestin telah direkodkan sepanjang 6 Mei hingga 19 Mei.
Berdasarkan rekod tersebut, lebih kurang 50 peratus melibatkan akaun Instagram, 35 peratus akaun Facebook, 11 peratus akaun Twitter dan 1 peratus akaun Tik Tok.
Antara alasan sekatan yang dikenakan kepada pengguna terbabit termasuklah hasutan kebencian, pelanggaran piawaian komuniti, kegagalan mengesahkan identiti dan sebagainya.
Media sosial kekal sebagai medium penting bagi rakyat Palestin mengkhabarkan keadaan sebenar situasi penindasan yang dihadapi dari rejim Zionis Israel memandangkan liputan media tradisional tidak memberikan laporan yang sewajarnya.
Serangan udara oleh tentera udara dan artileri rejim Zionis Israel di Gaza telah membunuh 253 rakyat Palestin, termasuk 66 kanak-kanak. Manakala lebih 1,900 rakyat Palestin cedera di dalam serangan 11 hari berkenaan yang bermula sejak 10 Mei lalu, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza.













