Platform permesejan popular, WhatsApp giat menguji pelbagai fungsi baharu sejak kebelakangan ini. Menurut laporan WABetaInfo, platform permesejan yang dimiliki oleh Meta kini sedang menguji ciri baharu yang membolehkan pengguna mendapatkan kembali mesej yang telah dipadamkan.
Di dalam WhatsApp, ketika hendak memadamkan sesuatu mesej, kita akan diajukan dengan pilihan “Delete for me” dan “Delete for everyone”. Kadangkala, sesetengah pengguna tersilap pilih “Delete for me” walaupun niat asalnya ingin membuat “Delete for everyone”. Atas sebab itu, ciri baharu ini sedang dibangunkan bagi memudahkan pengguna yang tersilap padam sesebuah mesej.
Berdasarkan tangkapan layar yang dikongsikan oleh WABetaInfo, satu butang popup “undo” kecil di bawah aplikasi akan ditunjukkan bagi fungsi berkenaan.
Menurut WABetaInfo, ciri tersebut disertakan di dalam WhatsApp beta for Android versi 2.22.18.13.













