WhatsApp sedang menguji had pemindahan fail antara pengguna yang lebih besar, lapor WABetaInfo. Keupayaan perkongsian fail merupakan salah satu ciri utama platform permesejan ini.
Ciri perkongsian fail antara pengguna pertama kali telah diperkenalkan sejak 2017. Walaubagaimanapun, had saiz fail yang dibenarkan untuk dikongsikan hanya 100MB sahaja dan had tersebut tidak pernah berubah setakat ini.
Berdasarkan tangkapan layar yang dikongsikan oleh WABetaInfo, platform permesejan dari Meta ini sedang menguji had saiz fail sehingga 2GB untuk sebahagian pengguna di Argentina sejak beberapa hari yang lalu.
Menaikkan had saiz kepada 2GB mampu menjadikan penggunaan WhatsApp lebih menarik. Hal ini kerana ia dapat membolehkan pengguna berkongsikan klip video atau fail-fail media lain yang bersaiz besar. Tambahan pula pemindahan fail melalui WhatsApp dilakukan secara enkripsi hujung-ke-hujung.
Tidak dapat dipastikan sama ada pengujian ini hanya sementara untuk sesebuah negara atau akan diperluaskan secara global. Selain dari pengujian had saiz pemindahan fail, WhatsApp turut menguji ciri membuat undian di dalam chat berkumpulan serta memberi reaksi terhadap mesej seperti di dalam iMessage.













