WhatsApp sedang menguji fungsi yang membolehkan untuk menyimpan sebahagian mesej menghilang. Aplikasi permesejan yang dimiliki oleh Meta ini telah memperkenalkan fungsi mesej menghilang sejak tahun 2020 dan telah mengalami beberapa penambahbaikan seperti mesej dipadamkan secara automatik selepas tempoh-tempoh tertentu.
Kini dijangkakan terdapat satu lagi perubahan baharu yang akan diperkenalkan pada aplikasi permesejan berkenaan. WABetaInfo melaporkan WhatsApp kini sedang menguji sebuah fungsi yang membenarkan pengguna untuk menghalang sesuatu mesej berkenaan dari terus menghilang.
Perkembangan ini dilihat agak mengelirukan pada pandangan kami. Kenapa memberikan fungsi mesej yang boleh menghilang tetapi dalam pada masa yang sama mesej berkenaan masih lagi boleh disimpan?
Walau apa pun jua justifikasi oleh WhatsApp, fungsi berkenaan masih lagi belum diketahui sama ada akan diperkenalkan kepada pengguna umum atau tidak kelak. Buat masa ini, pengguna masih lagi bebas untuk menentukan sama ada untuk membuatkan mesej yang dihantar akan hilang pada waktu tertentu atau boleh disimpan selamanya.
Berdasarkan laporan dari WABetaInfo, WhatsApp akan memperkenalkan bahagian baharu yang dikenali sebagai “Kept Messages.” Bahagian ini akan memaparkan kesemua mesej menghilang yang telah disimpan oleh pengguna.
Pengguna yang menyertai program beta WhatsApp untuk web kini boleh mencuba fungsi berkenaan. Dijangkakan versi beta untuk WhatsApp Android dan iOS akan memperkenalkan fungsi tersebut tidak lama lagi.
Fungsi mesej menghilang ini boleh diaktifkan pada WhatsApp bagi setiap kenalan dengan tetapan had masa tertentu atau secara lalai melalui tetapan privasi pada aplikasi berkenaan. Mesej menghilang ini berguna untuk pengguna yang ingin berkongsikan maklumat sulit atau menjalankan perniagaan.













