WhatsApp telah mengumumkan penambahan empat ciri baharu ke dalam WhatsApp Status bagi memberikan pengguna lebih pilihan mengekspersikan diri. Di dalam satu hantaran blog, pihak syarikat menjelaskan ciri-ciri baharu ini bertujuan memberikan pengguna menambahkan lebih personaliti bagi setiap kemaskini status.

Antara penambahan baharu tersebut, ciri Layout yang membolehkan pengguna menggabungkan sehingga ke enam gambar ke dalam bentuk kolaj. Ciri ini memberikan pilihan pelbagai susunan untuk imej-imej mengikut jumlah yang dimasukkan ke dalam kolaj.

Seterusnya, WhatsApp terus memperluaskan ciri muzik platformnya dengan membolehkan pengguna mengemaskini status dengan menumpukan lagu tertentu, atau menghasilkan pelekat muzik.

Bercakap tentang pelekat, kini terdapat pilihan Photo Sticker yang memberikan pengguna keupayaan untuk menukarkan foto ke dalam bentuk pelakat yang boleh dilampirkan pada status.

Tidak ketinggalan, ciri Add Yours merupakan pelekat yang boleh dilampirkan pada sesebuah imej, membolehkan pengguna menambahkan prompt ke status dan menjemput orang lain untuk berkongsikan pandangan masing-masing. Orang lain yang melihat status boleh berkongsikan semula prompt tersebut ke dalam status masing-masing, dan boleh membawa kepada permulaan perbualan dengan penonton masing-masing.

Menurut WhatsApp, ciri baharu tersebut akan diperkenalkan tidak lama lagi dan akan tersedia kepada semua pengguna dalam tempoh beberapa bulan lagi. Fungsi-fungsi ini akan diperkenalkan kepada semua pengguna secara berperingkat di seluruh dunia.

Tinggalkan komentar