WhatsApp merancang untuk memperkenalkan reaksi untuk mesej seakan-akan yang terdapat pada iMessage. Berdasarkan maklumat dari WABetaInfo, fungsi berkenaan dilihat sudah memasuki fasa akhir pembangunannya.

Fungsi berkenaan telah diusahakan oleh WhatsApp sejak kebelakangan ini. Ia dijangka akan hadir mirip dengan fungsi “Tapbacks” di dalam Apple Messages.

Pengguna kelak dapat memberikan respon segera dengan lebih mudah pada sesuatu mesej. Sama juga seperti yang terdapat pada Facebook Messenger, pengguna WhatsApp akan melihat sebaris emoji pada bahagian atas kotak mesej. Ia akan muncul selepas pengguna menekan selama beberapa ketika pada kotak berkenaan atau dengan mengetik kotak butang baharu.

Terdapat enam emoji reaksi disediakan setakat ini iaitu isyarat jari bagus, hati, wajah ketawa berdekah sehingga menitis air mata, wajah ternganga-nganga, wajah menangis dan kedua telapak tangan didekapkan. Apabila reaksi berkenaan dipilih, ia akan muncul di dalam profil yang lebih kecil di bawah mesej.

Menurut WABetaInfo, WhatsApp merancang ntuk membawakan reaksi mesej berkenaan ke aplikasi WhatsApp di dalam platform iOS dan Android pada beta yang akan datang. Fungsi ini juga dimaklumkan turut dilengkapkan dengan ciri enkripsi hujung-ke-hujung.

Tinggalkan komentar