WhatsApp telah mengumumkan alatan pengurusan storan baharunya disertakan pada aplikasi mudah alihnya. Bagi anda yang telah memuat turun fail-fail media dari WhatsApp atau menghidupkan tetapan muat turun media secara automatik, anda pastinya mendapati fail-fail berkenaan disimpan di dalam peranti anda secara kekal dan menyebabkan storan peranti lekas penuh.

Fungsi terbaru ini diperkenalkan dengan tujuan memudahkan pengguna membuat pembersihan ruang storan peranti yang penuh akibat mesej-mesej dari WhatsApp.

Pengguna boleh menggunakan fungsi ini dengan pergi ke menu Manage Storage. Selain itu, pengguna juga boleh mengakses fungsi berkenaan dengan mengetik pada paparan notifikasi yang muncul apabila WhatsApp mengesan storan peranti semakin berkurangan.

Menerusi menu Manage Storage terbabit, pengguna akan dimaklumkan status storan semasa melalui petunjuk yang disediakan. Ruangan storan yang digunakan akan dibahagikan berdasarkan kategori penggunaan masing-masing seperti media, chat dan sebagainya.

Turut disediakan pratonton “thumbnail” item-item berkaitan mesej WhatsApp yang memenuhi ruangan storan peranti anda. Dari situ, pengguna boleh memilih sama ada untuk memilih untuk memadamnya secara berasingan atau memadam keseluruhan fail di dalam kategori dengan mengetik pada “Delete All”.

Menurut sumber dari Engadget, alatan baharu ini telah tersedia untuk dimuat turun oleh seluruh pengguna global di kedua-dua platform Android dan iOS. Bagi anda yang masih lagi belum menerima kemaskini berkenaan, anda mungkin bakal menerimanya dalam masa yang terdekat ini.

Tinggalkan komentar