Meta telah mengumumkan kemaskini terbaru untuk WhatsApp yang disasarkan mampu meningkatkan pengalaman pengguna melalui fungsi mesej bersuara (voice note). Ciri terbaru yang disediakan pada aplikasi permesejan ini membolehkan pengguna menjeda (pause) mesej bersuara dan menyambungnya kembali.
Melalui fungsi ini, pengguna boleh merakamkan draf mesej bersuara berkenaan dengan menjedakannya dan mendengarkannya terlebih dahulu sebelum dihantar kepada penerima. Anda juga boleh menyambungkan kembali (resume) mesej bersuara yang dijedakan dan ciri sebegini amat berguna bagi pengguna yang ingin merakamkan mesej yang panjang.
Mesej bersuara juga kini mempunyai pemvisualan gelombang bunyi bagi membolehkan anda melihat pada rakaman yang senyap untuk dilangkau. Mesej bersuara ini juga menandakan pada bahagian yang anda jeda dan boleh diteruskan semula jika anda kembali ke rakaman mesej bersuara itu tadi.
WhatsApp juga menambah ciri mainkan semula lebih pantas apabila anda mendengar mesej bersuara yang dipanjangkan (forwarded).
Tumpuan platform permesejan ini terhadap fungsi mesej bersuara sememangnya sudah dijangkakan. Hal ini kerana Meta mendedahkan secara purata pengguna menghantar tujuh juta mesej bersuara pada setiap hari.
Bagaimanapun, penggunaan mesej bersuara ini mampu memberikan kesan terhadap pengguna kerana saiz data yang diperlukannya adalah lebih besar berbanding mesej berteks. Terdapat kemungkinan pertambahan saiz data sandaran WhatsApp di dalam Google Drive akan memberikan kesan terhadap had kuotanya.