WhatsApp sebelum ini dilaporkan menjalankan pengujian panggilan video berkumpulan sehingga lapan orang. Fungsi yang berada di dalam versi beta ini secara rasminya telah disertakan pada WhatsApp.
Pengumuman ini dibuat menerusi satu kenyataan menerusi blog rasmi WhatsApp. Subsidiari Facebook ini memaklumkan fungsi panggilan video berkumpulan ini boleh digunakan dalam keadaan isyarat rangkaian yang lemah dan juga pada peranti berspesifikasi rendah. Bagaimanapun, WhatsApp tidak menjelaskan kaedah yang digunapakai untuk tujuan berkenaan.
Bulan lalu, WhatsApp menyatakan para penggunanya meluangkan masa sehingga lebih 15 billion minit sehari untuk berborak. Syarikat aplikasi permesejan ini juga turut menjelaskan bahawa panggilan suara dan video melaluinya telah dienkripsikan hujung-ke-hujung.
Untuk membolehkan panggilan video berkumpulan sehingga lapan orang boleh dilakukan, anda hanya perlu mengemaskini WhatsApp ke versi yang paling terkini.
Bagaimanapun, sehingga artikel ini ditulis, kemaskini berkenaan masih lagi belum tersedia untuk pengguna-pengguna di Malaysia. Mengambil kira pengumuman yang telah dibuat, penambahan fungsi terbaru ini bakal disertakan di dalam kemaskininya di dalam masa yang terdekat ini.













