WhatsApp kini sedang giat menambah pelbagai ciri baharu ke dalam platformnya bagi menyaingi platform permesejan lain yang jauh di depan. Kumpulan borak WhatsApp merupakan salah satu tumpuan utama dalam penambahbaikan ini.

Untuk sekian lama, had maksimum jumlah pengguna di dalam WhatsApp hanya dihadkan pada 256 orang sahaja. Sungguhpun jumlah ini lebih dari cukup untuk kumpulan anggota keluarga atau kumpulan marhaban taman perumahan, had ini tidak mampu menampung untuk kegunaan sesebuah organisasi yang besar.

Angka tersebut kemudian dinaikkan hadnya kepada 512 orang baru-baru ini. Pun begitu, menurut laporan dari WABetaInfo, had tersebut akan dinaikkan dua kali ganda melalui kemaskini baharu terkini yang akan datang kepada 1,024 orang.

Cuma, ciri ini hanya terhad kepada pengguna beta sahaja dan tidak semua pengguna beta yang menerima ciri tersebut. Hanya beberapa pengguna WhatsApp terpilih sahaja yang menerimanya baik pada Android mahupun pada iOS.

Berbeza dengan WhatsApp yang baharu sahaja dalam usaha menaikkan had jumlah pengguna di dalam sesebuah kumpulan borak, Telegram lebih awal menawarkannya. Telegram membenarkan sesebuah kumpulan untuk menambah bilangan pengguna di dalamnya sehingga 200,000 dan ia amat bermanfaat untuk pengguna perusahaan dan perniagaan menyebarkan info terkini.

Tinggalkan komentar