WhatsApp versi beta pada kebiasaannya akan memberikan gambaran apakah perubahan baharu yang akan diperkenalkannya kelak, sama ada dalam bentuk kosmetik atau kefungsian.
Melalui beta terbaru WhatsApp versi Android terbaru, platform permesejan popular ini membenarkan pengguna membuat pilihan tetapan kualiti bagi video yang ingin dimuat naik.
Ini bermakna, pengguna boleh memilih sama ada ingin menaikkan fail video bersaiz kecil atau berkualiti tinggi berdasarkan keperluan semasa, menurut WABetaInfo.
Secara lalai, WhatsApp akan menetapkan pemampatan video jika dilihat ia diperlukan. Bagaimanapun, ia membenarkan pengguna memilih sendiri sama ada memberikan video berkualiti tinggi atau ingin mengecilkan saiz failnya.
Fungsi ini dijangka akan ditawarkan kelak pada versi iOS. Namun, tidak diketahui sama ada fungsi ini akan disertakan pada kemaskini umum atau ia kekal sekadar ujian beta sahaja.













