WhatsApp telah memperkenalkan beberapa fungsi baharu dalam beberapa minggu yang lepas termasuk fungsi membisukan individu lain ketika sesi panggilan berkumpulan.

Ia bukan sekadar membantu pengguna membisukan pengguna yang terlupa untuk mematikan mikrofon ketika tidak bercakap, malah turut membantu menghilangkan kesan gema (echo) pengguna-pengguna lain yang sedang berada di tempat yang sama di dalam sesi panggilan yang sama.

Ciri sebegini sudah lama diperkenalkan pada aplikasi-aplikasi persidangan lain seperti Zoom, Microsoft Teams, Google Meet dan sebagainya. Biasanya hos akan diberikan peranan untuk membisukan kesemua atau beberapa individu lain di dalam sesebuah sesi. Ia amat penting bagi mengawal perjalanan sesebuah sesi mesyuarat atau perbincangan yang dilangsungkan.

Menerusi fungsi panggilan berkumpulan ini, WhatsApp menyediakan sokongan sehingga lapan orang untuk panggilan video dan 32 orang untuk panggilan suara.

Selain fungsi membisukan ini, WhatsApp kini turut membenarkan pengguna menghantar mesej kepada pengguna-pengguna tertentu lain di dalam sesi panggilan berkumpulan berkenaan. WhatsApp juga kini memperkenalkan notis baharu yang akan memaklumkan pengguna apabila terdapat pengguna lain yang baru menyertai sesi selepas ia telah bermula.

Tinggalkan komentar