WhatsApp akan memperkenalkan butang suntingan (edit) ke dalam aplikasinya bagi membolehkan pengguna mengubah semula mesej yang telah dihantar. Menurut laporan oleh WABetaInfo, WhatsApp sekali lagi membangunkan fungsi menyunting mesej selepas pertama kali pernah membangunkannya sekitar lima tahun lalu.

Berdasarkan laporan, butang suntingan ini membolehkan pengguna mengubah mesej yang telah pun dihantar. Ini amat berguna bagi membetulkan masalah kesilapan ejaan yang telah ditaip oleh pengguna. Pun begitu, timbul kebimbangan fungsi ini akan disalahgunakan bagi tujuan mengusik atau menipu.

Memandangkan fungsi ini masih lagi sedang dibangunkan, kita tidak dapat memastikan bagaimanakah ia akan digunakan kelak. Buat masa ini, WABetaInfo menyatakan pihaknya tidak menyediakan fungsi untuk membuat semakan sejarah suntingan.

Turut tidak dinyatakan adalah mengenai tempoh masa yang dibenarkan oleh pengguna dapat mengubah kandungan mesej yang telah dihantar tersebut. Laporan berkenaan menyebut WhatsApp akan membawakan fungsi suntingan mesej yang telah dihantar ini ke seluruh platformnya termasuk iOS, Android dan desktop.

Pun begitu, tidak dipastikan bilakah fungsi ini akan diperkenalkan kepada pengguna. Terdahulu WhatsApp telah pun memperkenalkan fungsi yang menjadikan aktiviti permesejan lebih rancak seperti memberi reaksi emoji, fungsi menjeda dan menyambung rakaman suara dan pelekat boleh ubah suai.

Selain itu, platform di bawah Meta ini juga memperkenalkan fungsi Communities yang membolehkan pengguna mengurus dan menghubungkan kumpulan-kumpulan borak yang mempunyai minat yang sama.

Tinggalkan komentar