WhatsApp sebelum ini pernah memperkenalkan ciri berbilang perantinya secar abeta. Kini, platform permesejan popular di Malaysia ini akan memperkenalkan penambahbaikan di dalam versi beta terkininya dengan membenarkan pengguna memautkan ke sebuah lagi peranti mudah alih.
Penambahbaikan ini merupakan satu kemajuan yang besar memandangkan pengguna sebelum ini hanya dibenarkan untuk menggunakan fungsi berbilang peranti dengan WhatsApp versi desktop atau pelayar web sahaja.
WABetaInfo melaporkan beta terkini ini menunjukkan sebuah skrin yang menunjukkan kemungkinan sebuah lagi peranti mudah alih sebagai peranti “companion” untuk tetapan berbilang peranti. Ini mungkin merujuk sama ada sebuah lagi telefon atau tablet. Untuk memautkan kedua-dua peranti ini memerlukan peranti utama mengimbas kod QR pada peranti yang kedua.
Pelaksanaan peranti “companion” ini juga membolehkan anda menggunakan tablet anda sebagai peranti yang kedua. Berkemungkinan besar WhatsApp akan mewujudkan satu aplikasi khusus untuk peranti kedua ini bagi tablet Android dan juga iPad, mengambil kira perkembangan terkini yang sedang dijalankan.
Piha WhatsApp buat masa ini tidak menyatakan bilakah ciri ini akan tersedia menerusi WhatsApp untuk orang ramai. Fungsi mustahak sebegini sewajarnya perlu disegerakan bagi memudahkan pengguna menjalankan kerja-kerja produktiviti pada peranti mudah alih.













